JADIKAN amalan membaca  budaya kita. Itulah slogan yang selalu digunakan untuk menggalakkan masyarakat membaca dan budaya itu mesti dimulakan sejak kecil.

Kebolehan membaca penting untuk kanak-kanak belajar. Tetapi sebelum mereka boleh membaca sendiri, ibu bapa ialah pembaca mereka. Membaca ialah aktiviti yang menyeronokkan dan mudah dibuat di rumah.

Berikut 8 tip membaca buku bersama anak yang mudah dan ringkas, serta memberikan banyak manfaat kepada pembelajaran.

1. BACA PERLAHAN-LAHAN

Perlahan-lahan bukan bermaksud suara perlahan, tetapi tempo kelajuan yang rendah. Kanak-kanak lebih mudah menangkap setiap patah perkataan dan belajar dengan lebih baik apabila dibacakan dengan perlahan.

Mungkin agak sukar untuk kita membaca perlahan, tetapi itu memang membantu. Jangan lupa menggunakan pelbagai intonasi (seperti, marah, takut, gembira, sedih dan sebagainya) yang sesuai ketika membaca untuk lebih menarik minat mereka.

2. BACA SEMULA BUKU YANG SUDAH DIBACA

Kanak-kanak suka melakukan perkara berulang-ulang, begitulah juga membaca buku. Jika anak menyuruh mengulang buku sama hingga kita rasa muak dan jemu, itu perkara yang baik! Kanak-kanak akan belajar lebih banyak daripada buku itu apabila dibacakan berulang kali. Lebih banyak kita baca, lebih banyak perkataan dan perkara dipelajarinya.

3. TUNJUK PERKATAAN DENGAN JARI KETIKA MEMBACA

Strategi ini penting supaya kanak-kanak memahami bahawa setiap perkataan yang dibacakan mengandungi maksud. Ini juga membolehkan kanak-kanak fokus kepada buku tersebut. Selain itu, kanak-kanak akan belajar bahawa buku dibaca dari arah kiri ke kanan dan dari atas ke bawah kecuali buku dalam tulisan jawi yang dibaca dari kanan ke kiri.

4. MINTA ANAK TUNJUK GAMBAR DALAM BUKU

Libatkan anak dalam pembacaan dengan minta dia tunjukkan gambar dalam buku. Sebagai contoh, mana kucing? ataupun tunjuk ikan di mama? Ini bukan saja mengekalkan fokus kanak-kanak kepada buku itu, malah boleh mengajar kanak-kanak kosa kata baharu tentang objek yang biasa dilihat.

5. TANYA ANAK TENTANG SITUASI YANG TERJADI DALAM BUKU

Teknik ini membantu kanak-kanak memahami cerita dan apa berlaku serta membina kebolehan menjawab pelbagai jenis soalan. Kita boleh menggunakan soalan seperti ya/tidak, apa, siapa, mana, bila, kenapa dan bagaimana.

Contoh soalan yang boleh ditanya: Mana kucing hitam? Itik buat apa itu? Kenapa dia jatuh? Kereta besar tak?

6. BELI BUKU IKUT MINAT ANAK

Kanak-kanak lebih gemar membaca jika buku itu ada kaitanan dengan minat mereka. Contohya, jika kanak-kanak sukakan kereta, kita mungkin boleh beli buku cerita mengenai kereta. Kita boleh bawa anak bersama untuk beli buku dan minta mereka pilih sendiri buku yang mahu dibaca.

7. BACA PELBAGAI BUKU BERBEZA

Dedahkan anak dengan pelbagai jenis buku berbeza seperti buku cerita fiksi, buku bukan fiksi (buku mengenai fakta atau topik), buku tentang orang yang berbeza, buku banyak gambar dan sebagainya. Ini membolehkan anak belajar tentang banyak perkara daripada buku berbeza. Mereka juga akan memahami setiap buku itu berbeza dan mempunyai cara pembacaan berbeza.

8. LAKUKAN AKTIVITI SAMA SEPERTI DALAM BUKU

Bagi membantu kanak-kanak lebih memahami perkara dalam buku, kita boleh melakukan perkara yang ada dalam buku.

Contoh aktiviti yang boleh dibuat ialah:

  • Lukis apa yang terjadi dalam buku.
  • Main play dough, LEGO atau blok kayu untuk membina bangunan seperti dalam buku.
  • Pergi zoo dan kaitkan dengan buku mengenai haiwan yang pernah dibaca.

Ini membantu kanak-kanak mengaitkan apa yang dibaca dalam buku dan apa yang terjadi di luar.

SUMBER: AishahKassim

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda