NAMA pun adik beradik, memang tidak sah kalau tidak pernah bergaduh. Bising satu hal, stres pun satu hal juga. Kata orang, buat apa pun tak boleh.

Biasanya kita sebagai ibu bapa akan jadi pengadil, dan tentukan siapa yang bersalah. Kadang-kadang dua-dua kena denda sekali. Apa tidaknya, kalau si abang yang didenda, si adik boleh pula muncul mengejek dan begitulah sebaliknya. Lebih parah, tak makan saman! Baru sejam kena hukum, boleh pula bergaduh balik.

Pensyarah dan Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Rozanizam Zakaria berkongsi 8 tip untuk mengelakkan perebutan atau perbalahan adik beradik tanpa kita perlu jadi pengadil.

    1. Jika pergaduhan itu pasal perkara remeh – abaikan. Teknik ini untuk melatih anak yang jadi ‘mangsa’ supaya mengadu lebih tinggi, dan tidak beri perhatian kepada anak ‘pemangsa’.
    2. Jika lebih serius, seperti berebut mainan hingga jadi perbalahan – mulakan dengan marahkan kedua-dua anak yang bergaduh.
    3. Apabila ada anak mengadu dengan hormat, pandang matanya dan pegang jika perlu.
    4. Tunjukkan kepada anak, kita faham tentang situasi sukar dihadapinya.
    5. Tunjukkan juga yang kita percaya mereka boleh selesaikan masalah.
    6. Tinggalkan anak. Teknik ini mungkin tidak akan selesaikan perbalahan. Tetapi mampu elak perbalahan jadi lebih teruk. Jika konsisten dengan teknik ini, mereka akan mula mengaitkan pergaduhan dengan emosi negatif.
    7. Jika pergaduhan jadi berpanjangan atau melarat hingga melibatkan fizikal, sambung dengan teknik ini:
      – Beritahu dengan jelas apa anda nampak dan tidak suka.
      – Tarik reward atau masa bermain, dan asingkan kedua-dua anak hingga tenang.
    8. Paling penting – konsisten. Tidak kisah sehebat mana teknik anda, kalau ibu bapa cepat putus asa, mereka akan tahu trik dan tewaskan peraturan kita.

  1. Ibu bapa disaran jangan buat perkara ini ketika anak-anak sedang bergaduh:
    1. Jangan melabel anak. Contoh: kakak dan adik ni asyik gaduh saja!
    2. Jangan bandingkan anak sendiri dengan anak orang lain.
    3. Terima apa saja mereka cakap, jangan tunjuk pilih kasih.
    4. Biarkan mereka marah. Itu sebahagian emosi manusia. Jangan dihalang, tetapi tunjukkan mereka cara betul untuk luahkan kemarahan.
    5. Beri perhatian ketika mereka bermain dengan baik tanpa bergaduh (puji dan hargai jika perlu).
    6. Alihkan tumpuan dengan buat lawak, kisah lucu dan perkara yang boleh buat mereka ketawa.
    7. Jika mereka berkelakuan ganas atau fizikal. Beri hukuman sewajarnya secara konsisten. Beritahu, sikap itu tidak boleh diterima dan mesti dihukum.

    SUMBER: Dr Rozanizam Zakaria – Dr Nizam’s TIPS 

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda