MENGAJAR anak melakukan kerja rumah sejak kecil sangat penting dalam membentuk perkembangan sikap dan sahsiah diri. Tetapi janganlah pula diberikan kerja berat atau yang terlampau sukar. Didiklah mengikut kesesuaian usia.

Apabila anak sudah faham arahan, kita boleh mulakan dengan kerja mudah seperti memasukkan baju yang sudah dipakai ke dalam bakul dan mengemas mainan selepas bermain.

Berikut tip mengajar anak supaya jadi lebih seronok buat kerja rumah:

1. BUAT SECARA BERPASUKAN

Cara yang mudah dan cekap adalah membuat kerja rumah bersama anak. Lebih seronok kalau kita dapat menyanyikan lagu dengan dia sambil mengemas bilik atau mainan. Pada masa sama kita dapat melihat hasil kerja yang anak lakukan sama ada betul atau tidak.

2. BUAT VIDEO ALA IKLAN SENDIRI

Cara ini agak menyeronokkan kalau kita boleh rakamkan video ala iklan sendiri bersama anak ketika sedang buat kerja rumah dengan menggunakan peralatan seperti vakum atau mop lantai. Adik-beradik lain pula boleh ambil giliran jadi videografer.

3. CABUTAN BERTUAH

Kita boleh buat cabutan bertuah untuk menentukan kerja rumah apa yang mereka akan buat. Tetapi, pastikan dia bersetuju terlebih dulu. Lebih menyeronokkan, kita warnakan batang kayu aiskrim menggunakan warna-warna menarik seperti hijau untuk dapur. Anak akan merasa dia sudah buat pilihan.

4. JADIKAN SATU PERMAINAN YANG SERONOK

Bawa anak ke dapur, ajak dia memasak dengan menyediakan makanan mudah seperti bermain masak-masak. Selepas itu, ajar pula dia mengemas dan mencuci peralatan yang sudah digunakan. Ajar juga cara menghidang makanan ketika makan bersama keluarga.

5. BUAT KERJA LEBIH MENCABAR 

Kanak-kanak mudah bosan. Jadi, cuba berikan mereka kerja atau tugasan lebih berat selain kerja dalam rumah. Ajak mereka bersihkan laman rumah atau akuarium ikan. Jika ada laman sendiri untuk bercucuk tanam, boleh ajak dia berkebun seperti menanam bunga atau sayur.

6. TUKAR RUTIN

Rutin harian mungkin membosankan si anak. Jadi sekali sekala tukarlah rutin sedia ada. Apa kata, ajar anak memasak makanan lain daripada kebiasaan secara bergilir-gilir (jika ada anak ramai). Cara ini akan memberikan peluang untuk dia merancang jenis makanan yang mahu dimasak. Mungkin boleh minta dia mengemas bilik adik beradik lain.

7. PUJIAN DAN GANJARAN

Kanak-kanak memang suka dipuji kalau buat sesuatu perkara yang baik. Tidak salah berikan pujian kepadanya kerana rajin membantu kerja rumah. Berilah kata-kata pujian yang baik bagi merangsang dia supaya lebih rajin membantu pada masa akan datang.

8. BUAT PERTANDINGAN

Kanak-kanak suka bermain, jadi sebagai galakan buat kerja rumah, kita boleh buat pertandingan. Siapa paling cepat, pantas dan sempurna menyiapkan tugasan akan mendapat hadiah. Hadiah tidak perlu mahal, cukuplah belanja makan aiskrim, itupun sebenarnya sudah cukup menggembirakan.

SUMBER: Parents.com 

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda