ANAK-anak sememangnya sukakan air. Pantang nampak, ada saja idea dan rancangan yang dibuat mereka. Mandi dalam baldi, di tandas atau kolam renang plastik pun sudah mengembirakan anak kita.

Jadi, apa kata cuti sekolah ini kita hiburkan mereka dengan membawa anak ke taman tema air yang menarik di seluruh negara. Kita pilihlah mengikut bajet dan kemampuan masing-masing, ya.

1. WATER WORLD I-CITY SHAH ALAM

Tarikan utama taman tema air ini ialah permainan Tornado Ride yang dikatakan terbesar di Asia. Pelampung ini boleh menampung 4 orang dan mengambil masa cuma 28 saat untuk menggelongsor dalam terowong air curam setinggi 7 tingkat.

Water World I-City berkeluasan 10 ekar ini memang cukup puas untuk anak mandi-manda dengan bayaran masuk mampu milik. Taman tema ini dibuka jam 11 pagi hingga 7 petang, dan ditutup setiap Selasa.

Sepanjang cuti sekolah Mac ini, Water World I-City menawarkan harga promosi RM20 berbanding harga biasa RM35.

2. CARNIVALL WATER PARK, SUNGAI PETANI, KEDAH

Carnivall Water Park ialah sebahagian Cinta Sayang Resort yang turut menawarkan penginapan hotel kepada mereka ingin bermalam pada harga serendah RM125 semalam.

Bayaran masuk taman tema air ini cuma RM19 (kanak-kanak) dan RM20 (dewasa) pada Isnin-Jumaat. Bayaran hujung minggu pula RM20 (kanak-kanak) dan RM28 (dewasa).

Carnivall Water Park ialah antara destinasi menarik di Kedah dengan bajet berpatutan untuk seisi keluarga beriadah pada cuti sekolah.

3. TIRAM INDOOR WATER WORLD, JOHOR

Taman air tertutup pertama di Johor ini dibina dalam kompleks beli-belah Today’s Mall di bandar Ulu Tiram.

Sebuah kolam berkeluasan 26,00 kaki persegi dibina untuk hiburan orang ramai dan boleh menampung 1,000 pengunjung pada satu-satu masa dengan konsep dunia laut.

Puas bermain air, kanak-kanak boleh bermain gelongsor dan berbasikal di taman tema kering. Bayaran sebanyak RM14.90 dikenakan untuk dewasa dan RM20 (kanak-kanak), dan dibuka setiap hari.

4. TAMAN TEMA AIR GAMBANG, PAHANG

Taman Tema Air Gambang ialah salah satu taman tema air terkenal di Malaysia yang terletak di Gambang, Pahang, lebih kurang 35km sahaja dari Kuantan.

Taman tema air ini sangat besar dan sesuai untuk kanak-kanak berseronok bermain air. Ada pelbagai aktiviti dan permainan yang boleh didapati seprtit Penguin Island dan Tree Top Hill Slide.

Bayaran masuk kanak-kanak, RM28 dan dewasa, RM38.

5. WONDERLAND THEME PARK & RESORT MELAKA

Terletak berhadapan Zoo Melaka, taman tema dikelilingi hutan rekreasi seluas 360 hektar ini menawarkan lebih 12 tarikan, termasuk Taman Dinosaur dan Taman Ekstrem untuk aktiviti lasak seperti Go Kart dan Paintball.

Turut disediakan permainan Aqua Bubbles yang mana pengunjung boleh masuk ke dalam belon besar dan berjalan atas air.

Bayaran masuk orang dewasa ialah RM37.90, kanak-kanak (RM30.80) pada hari biasa, manakala, RM42.65 (dewasa) dan RM36.75 (kanak-kanak) pada hujung minggu.

6. KENYIR WATER PARK TERENGGANU

Tarikan terbaru di Terengganu ini berlatarbelakangkan keindahan Tasik Kenyir yang menjadi tumpuan pelancong. Pengunjung perlu menaiki bot dari Pengkalan Gawi menyeberangi tasik sebelum tiba di Pulau Poh.

Antara menarik di taman tema seluas kira-kira dua hektar itu ialah kawasan permainan air dengan kolam terapung, gelongsor dan bot kayuh (paddle boat).

Taman tema ini mampu menampung hingga 600 pengunjung pada satu-satu masa dan bayaran masuk ialah RM20 (dewasa) dan RM10 (kanak-kanak).

7. MARINA WATER PARK TELUK BATIK PERAK

Taman tema air pertama di Daerah Manjung ini terletak dalam kawasan Resort Marina Cove berkeluasan 80 ekar. Antara menarik, pancuran air berbentuk cendawan beraneka warna dan pengunjung boleh berakit sekitar kawasan kolam.

Tiada bayaran dikenakan kepada penghuni resort. Orang luar pula dikenakan bayaran RM10 untuk dewasa dan RM8 (kanak-kanak).

8. GOLD COAST MORIB WATER THEME PARK SEPANG

Resort percutian keluarga ini memang mesra pelanggan dan berdekatan dengan pantai Morib. Gelongsor panjang yang direka seperti ‘badan naga’ menjadi tarikan utama pengunjung dan terletak di tengah resort berkenaan.

Taman tema ini juga dibuka kepada orang awam. Bagi penghuni resort, bayaran sebanyak RM25 dikenakan untuk mereka yang berusia 12 tahun ke atas, manakala, 2-11 tahun (RM15).

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda