SUDAH lumrah, setiap ibu bapa mahu berikan apa saja yang terbaik buat anak mereka supaya dapat membesar dengan baik dan sempurna. Tidak dinafikan setiap pasangan ada cara tersendiri membesarkan anak masing-masing.

Memberikan yang terbaik buat anak bukan kesalahan. Apa yang salah, kadangkala kita terlupa bahawa sikap memberikan segala-galanya kepada si anak boleh membuatkan perangai mereka rosak pada masa depan.

“Bapa yang bersalah dalam soal ini, bapa membesarkan Sazali dengan secara membabi buta saja. Segala apa kemahuan Sazali bapa tunaikan, segala apa hajat Sazali, bapa sempurnakan, sehingga Sazali pandai cakap bohong sama bapa… sehingga Sazali menipu bapa… menipu untuk kepentingan diri…

“Tetapi bapa hanya… ’Anakku Sazali’… bapa yang bertanggungjawab atas segala kelakuan buruk dan baik Sazali…”

Jika pernah menonton filem ‘Anakku Sazali’ lakonan seniman P Ramlee, anda akan memahami penyesalan seorang bapa yang membesarkan anaknya dengan penuh kesempurnaan tanpa memikirkan akibat buruk didikan yang diberikan.

Sebagai ibu bapa, sudah tentu kita tidak mahu merosakkan anak-anak dengan didikan yang salah. Berikut 9 sikap dan silap ibu bapa yang boleh merosakkan anak kecil kita jika sesuatu tidak dilakukan segera. Masih belum terlambat. Kata pepatah, melentur buluh barlah daripada rebungnya.

1. MANJAKAN DENGAN WANG RINGGIT

Memberikan apa saja yang dimahukan. Tidak pernah berkata ‘tidak’ untuk setiap benda atau perkara yang mereka minta. Secara tidak sedar, anda perlahan-lahan sedang tunjukkan kepada mereka bahawa wang dan material adalah segala-galanya dalam hidup.

2. MATERIALISTIK

Terlampau mementingkan penampilan luaran dan sanggup berbelanja banyak untuk pakaian berjenama. Anda mungkin tidak sedar bahawa anda sedang memupuk sikap mementingkan kebendaan terhadap anak. Anak akan membesar dengan menilai sesuatu pada aspek material semata-mata. Bagi mereka, berjenama adalah bagus dan dihormati.

3. TIDAK BELAJAR BERDIKARI

Sentiasa ada untuk mereka. Jika anak menangis, terus berlari dan cuba buat mereka tenang. Jika anak meragam, terus saja beri perhatian sepenuhnya kepada mereka. Bukan tidak boleh, cuma jangan melampau. Anak-anak perlu diberikan ruang untuk rasa bosan atau rindu kepada kita. Ini bagus untuk melatih kesihatan mental dan emosi mereka.

Ada ibu bapa yang sanggup melakukan semua perkara hingga si anak tidak pernah belajar dan diajar melakukan perkara-perkara asas.

4. ANAK JADI RAJA

Menghiburkan anak sepanjang hari hingga sanggup membatalkan urusan atau aktiviti lain. Sampai pada satu tahap, anda memberikan gambaran atau isyarat betapa anda sanggup melakukan apa saja demi memenuhi kemahuan mereka. Anda dilihat tidak tegas dan tidak langsung ditakuti.

5. TIDAK BOLEH UBAH KEBIASAAN

Anda kerap merancang menu atau masakan mengikut apa yang anak mahu. Anak tidak mahu sayur, terus tidak masak sayur. Anak tidak mahu air kosong, terus bancuhkan sirap manis. Anak mahu makanan ringan, terus saja beli di kedai. Anda tidak ingin mengubah atau memberikan sesuatu yang di luar kebiasaan mereka. Mereka akan membesar dengan sikap merasa diri sendiri betul.

6. SENTIASA PENUHI KEPERLUAN

Anda selalu mendaftarkan anak dalam banyak aktiviti kokurikulum mengikut kemahuan mereka. Anak mahu main bola, daftar masuk kelab bola. Lepas itu mahu pula belajar Taekwondo, terus pula masuk kelas Taekwondo. Silap!

Sebagai ibu bapa, kita sesekali perlu buat keputusan bagi pihak mereka. Kalau tidak mereka akan jadi tidak fokus, main-main dan tidak belajar sikap bertanggungjawab.

7. TIDAK PERBETUL KESALAHAN

Gagal mendisiplinkan anak jika berkelakuan buruk. Apabila anak melompat atas meja ketika makan di luar, kita cakap dalam hati; “Alah, budak-budak, biasalah.” Sikap ini akan menyuburkan sikap sombong dalam diri anak. Mereka akan membesar dengan sikap, kau siapa nak tegur aku? Mak ayah aku pun tak pernah cakap apa-apa!

Tegurlah anak kita. Didik mereka cara menunjukkan perasaan yang betul dan di tempat betul. Dunia dan persekitaran kita turut dikongsi manusia lain.

8. TIDAK PERNAH BERSALAH

Selalu menyebelahi anak sekiranya mereka bermasalah di sekolah. Sentiasa menyalahkan orang lain dan mengiyakan apa saja perbuatan anak walaupun sudah terang-terang bersalah.


Didikan yang betul akan menentukan sikap dan tingkah laku anak-anak pada masa depan. Sementara anak masih kecil, ibu bapa harus menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin untuk membentuk perangai, sikap dan akhlak mereka supaya jadi insan cemerlang apabila membesar kelak.

SUMBER: FamilyLife

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda