IBU menyusukan anak memang banyak pantang larang. Apa saja dilakukan mesti diambil perhatian, terutama tentang pengambilan makanan dan ubatan yang dimakan, bimbang nanti menyebabkan kualiti dan penghasilan susu badan merosot. Lebih risau, takut apa yang dimakan itu akan memberikan kesan tidak baik terhadap bayi.

Berikut beberapa soalan yang kerap timbul dalam hati dan sentiasa merisaukan ibu mengenai keselamatan pengambilan ubat-ubatan ketika menyusu.

1. ADAKAH SELAMAT MENYUSU JIKA… SAYA DIET 

Kita boleh diet ketika menyusu jika dilakukan pelahan-lahan selama 10 bulan hingga setahun. Penurunan berat badan beransur-ansur melalui pemakanan sihat, rendah lemak dan senaman sederhana adalah penting. Menyusu ialah masa yang mudah menghilangkan berat badan kerana badan kita menggunakan tenaga dalam lemak untuk menghasilkan susu.

2. ADAKAH SELAMAT MENYUSU JIKA… SAYA SAKIT

Jika kita hanya mengalami selsema, batuk dan sakit perut biasa, tiada masalah jika meneruskan penyusuan. Bagaimanapun, jika berlarutan selepas tiga hari, kita dinasihatkan berjumpa doktor kerana dikhuatiri dijangkiti bakteria yang memerlukan kita dirawat menggunakan antibiotik. Jangan lupa minta antibiotik selamat untuk ibu menyusu!

Jika terpaksa mengambil ubat yang tidak sesuai untuk penyusuan bayi, boleh terus mengepam susu untuk mengekalkan bekalan susu supaya terus lancar walaupun tidak diberikan kepada anak. Perlu diingat, ketika sakit disarankan minum banyak air.

3. ADAKAH SELAMAT MENYUSU JIKA… SAYA AMBIL UBAT BATUK

Ya, kerana ada ubat batuk yang selamat digunakan ketika menyusu. Bagaimanapun, perlu berhati-hati dengan kandungan ubat batuk yang menggabungkan beberapa jenis ubat dalam bentuk cecair atau pil. Elakkan mengambil ubat batuk yang digunakan untuk mengubati lebih daripada satu gejala.

4. ADAKAH SELAMAT MENYUSU JIKA… SAYA MENGAMBIL UBAT PERANCANG

Kebanyakkan ubat perancang selamat ketika menyusu, tetapi jika mengandungi estrogen, boleh menyebabkan pengeluaran susu jadi kurang. Progesterone meningkatkan pengeluaran susu. Jadi, progesteron adalah pilihan pil yang lebih baik kepada ibu menyusukan anak.

5. ADAKAH SELAMAT MENYUSU JIKA… SAYA MAKAN UBAT TAHAN SAKIT

Ubat tahan sakit yang biasa adalah selamat dalam tempoh 3-4 hari pertama selepas bersalin.

Narkotik seperti codeine dihancurkan asid perut bayi dan kurang diserap daripada usus bayi. Ibuprofen atau acetaminophen, adalah selamat diambil dalam dos tinggi. Minta pendapat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil ubat tahan sakit.

6.  ADAKAH SELAMAT MENYUSUK JIKA… SAYA AMBIL UBAT ALERGI

Ubat alergi selamat diambil ibu menyusukan anak tetapi hati-hati jika ada ubat yang menggabungkan ubatan lain sama ada dalam bentuk cecair atau pil. Antihistamines seperti diphenhydramine (Benadryl) dan chlorpheniramine (Chlor-Trimeton) adalah selamat, manakala Loratadine (Claritin) dan Fexofenadine (Allegra) adalah kurang selamat.

7. ADAKAH SELAMAT MENYUSU JIKA… SAYA MENGAMBIL VAKSIN

Tiada alasan tidak mengambil vaksin ketika menyusukan anak kerana ia selamat. Jika mahu mengelak demam selesema, kita boleh mengambil vaksin khas bagi melindungi diri dan bayi daripada jangkitan selesema.

8. ADAKAH SELAMAT MENYUSU JIKA… SAYA AMBIL KOPI

Minum kopi ketika menyusukan anak adalah selamat tetapi perlu mengehadkan pengambilan kafein dalam sehari. Akademi Pediatrik Amerika menyarankan ibu menyusu mengambil kopi tidak lebih 3 gelas sehari.

SUMBER: BabyCenter.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda