KETIKA anak kita menyusukan badan sepenuhnya, itulah masa yang sesuai menurunkan berat badan kerana kalori mudah terbakar ketika anak sedang menyusu.

Bagaimanapun, ada kalangan ibu yang tidak bersetuju kerana tidak berjaya menurunkan berat badan kepada bentuk asal seperti sebelum hamil. Hendak buang lemak yang hampir 9 bulan dalam perut itu memang mengambil masa dan mencabar kerana menyusukan anak menyebabkan kita sering lapar.

Jadi, apa kata kita ikut 7 tip kurus khusus kepada ibu yang sedang komited menguruskan badan.

1. JANGAN DIET

Jangan mengamalkan diet terlalu ketat ketika menyusukan anak kerana badan memerlukan banyak sumber nutrisi untuk disalurkan kepada anak. Sebaiknya kurangkan jumlah makanan sedikit demi sedikit secara perlahan-lahan.

Tetapi perlu diingat jangan mengambil makanan di bawah 1,800 kalori. Kita juga digalakkan mengambil sumber makanan kaya kalsium, asam folat, zat besi, protein, dan  vitamin C serta ikan berlemak atau kekacang yang mengandung asam lemak omega 3 untuk perkembangan otak bayi.

Penurunan berat badan tidak mudah ketika menyusukan anak. Jadi jangan mula dengan terburu-buru. Kita disaran untuk memulakan diet apabila anak berusia 2 bulan.

2. MAKAN KERAP TAPI SEDIKIT

Makan dengan kerap tetapi dalam jumlah sedikit adalah cara terbaik untuk mengurangkan berat badan kerana membantu kita untuk rasa sentiasa kenyang.

Jika hanya makan ketika lapar, kita berkemungkinan akan makan dengan jumlah banyak. Makan kerap juga membantu meningkatkan pengeluaran susu lebih banyak.

3. KERAP BERI SUSU PADA ANAK

Menyusukan anak akan membakar kalori dalam badan. Jadi, jangan ada yang membataskan had masa menyusu anak untuk mengelakkan berat badan naik, itu tidak benar. Bagi ibu bekerja, kerap mengepam susu juga akan membantu mengurangkan berat badan. Pada masa sama, baik untuk pengeluaran susu ibu.

4. MINUM AIR BANYAK

Minum air yang banyak dapat mengelakkan kita daripada dehidrasi dan sembelit serta ‘lapar palsu’ yang sering dialami dalam kalangan ibu menyusu. Dicadangkan minum air sekurang-kurangnya 8 gelas sehari.

Cara mudah, lihat air kencing, jika berwarna kuning pekat itu tanda kita kekurangan air. Jika boleh kurangkan pengambilan minuman yang mengandungi kafein, seperti teh, kopi dan minuman bersoda.

5. SENAMAN TERATUR

Walaupun sibuk menguruskan anak, ambil masa untuk bersenam ringkas di rumah iaitu senaman yang boleh dilakukan di mana saja dalam rumah dan tidak memerlukan pergerakan rumit. Atau mungkin senaman berjalan di tasik. Lakukan senaman 150 minit seminggu sudah mencukupi.

Senaman bukan saja baik untuk mengurangkan berat badan tetapi membantu mengurangkan tekanan dan tidur lebih lena.

6. TIDUR YANG CUKUP

Tidur cukup diperlukan badan bagi kesihatan fizikal dan mental. Pada masa sama boleh membantu mengurangkan berat badan kita. Berdasarkan kajian, ibu menyusu yang tidur kurang 5 jam sukar menurunkan berat badan berbanding ibu menyusu yang tidur selama 7-8 jam sehari. Jadi, ibu menyusu digalakkan tidur cukup sekurang-kurangnya 7-8 jam.

7. KURANGKAN TEKANAN

Tekanan atau stres boleh menyebabkan kita makan lebih banyak dan mempengaruhi kuantiti pengeluaran susu ibu. Jadi, kurangkan stres ialah salah satu cara kita menurunkan berat badan ketika menyusu.

Jika mengamalkan semua tip di atas masih tidak dapat menurunkan berat badan, jangan sewenang-wenangnya mengambil makanan tambahan untuk kurus ketika menyusukan anak tanpa meminta nasihat doktor.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda