TENGOK rumah bersepah dan kotor memang stres. Ibu pun mula jadi malas hendak masuk dapur sebab sudah hilang mood asyik tengok sinki yang dipenuhi aneka macam pinggan mangkuk belum dicuci.

Sudah ada anak kecil, memang susah mahukan rumah yang sentiasa kemas. Ada saja barang mainan bersepah. Memang tidak sempat ibu hendak, menyimpan, mengemas dan menyusun. Apatah lagi sibuk pula melayan kerenahnya. Inilah punca kita serabut dan tidak terurus. Ok ibu, tarik nafas sebentar. Sekarang, jom kita cuba atasi masalah rumah bersepah dengan ikut 7 cara mudah ini:

1. TETAPKAN PERATURAN

Didik anak supaya berdisiplin. Contohnya, tetapkan ruang bermain anak dan jangan biar anak bermain di ruang tamu, dapur atau dalam bilik tidur. Ibu atau ayah juga boleh tetapkan peraturan supaya mainan dikemas semula sebelum anak masuk tidur.

Sekiranya anak langgar peraturan, kenakan syarat atau denda supaya dia dapat belajar tentang akibat dan kepentingan bermain dalam kawasan ditetapkan, termasuk dimestikan mengemas semua mainan sebelum tidur. Lambat laun anak akan terbiasa dengan rutin itu.

2. SEDIAKAN RUANG SIMPANAN 

Sediakan bakul, raga dan tempat simpanan barang mainan anak. Ini menandakan yang mainan anak mesti disimpan di tempat sama setiap hari. Jadi, tidaklah anak kita melonggokkan mainan atas katil atau tinggalkan di dapur.

Beritahu anak di manakah bakul buang sampah untuk memudahkan urusan kita mencuci rumah. Jangan lupa buang sampah setiap hari!

3. JANGAN LONGGOK PINGGAN DALAM SINKI

Cuci pinggan setiap kali selepas makan. Kalau sudah berlonggok dalam sinki, mata dan hati sama-sama sakit. Cuba sedaya-upaya cuci sebaik saja selesai dimakan atau digunakan. Pastikan juga meja dapur sentiasa teratur dan bersih.

4. LIPAT KAIN SELEPAS CUCI

Bila datang mood malas, asyik tangguh urusan lipat kain sampai bertimbun kain yang hendak dilipat. Ini salah satu punca kenapa rumah nampak bersepah. Setiap kali selepas pakaian dijemur kering, terus saja lipat dan masukkan dalam almari. Walaupun malas, terpaksa juga untuk elak rumah nampak bersepah.

5. GOTONG-ROYONG

Sekali-sekala ajak anak bantu kita mengemas rumah. Berikan tugas yang mereka suka, misalnya susun buku, lap habuk, atau cuci pinggan. Ini secara tidak langsung dapat mendidik anak membantu kita membersihkan rumah. Ajar juga anak mengemas katil sendiri setiap pagi.

Jika anak masih kecil, minta bantuan suami atau dapatkan khidmat pembantu rumah berbayar mengikut jam. Kepada ibu dan ayah yang sibuk bekerja, memang terpaksa gunakan khidmat pembantu rumah berbayar untuk mencuci dan mengemas rumah.

6. PERABOT MINIMALIS

Beli perabot ringkas sekiranya rumah sempit. Makin banyak perabot, makin susah kerja kita mengemas rumah. Biarkan ruang rumah sentiasa lapang dan mudah dikemas. Selain menjimatkan ruang, kita juga memudahkan kerja mengemas. Rumah juga nampak luas dan lapang.

7. PANDAI CURI MASA

Apa kata ketika mandi, sambil-sambil berus lantai bilik air. Kalau mahu ditunggu masa lapang, memang susah. Jadi boleh saja kita mencuci bilik air sambil mandi, atau cuci dapur ketika memasak, termasuk mencuci pinggan, dan sinki.

Ketika anak tidur, kita boleh buat kerja menyapu, mengemop dan mengelap dengan pantas tanpa gangguan.

Memang senang sajakan hendak rumah sentiasa kemas? Jom jadikan 7 amalan di atas sebagai rutin harian untuk pastikan rumah kita sentiasa kemas.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda