TERLALU banyak petua yang dikongsikan orang ramai di laman sosial kebelakangan ini hinggakan kita sebagai ibu bapa tidak ketinggalan untuk mencuba! Sebab apa? Kita tidak mahu melihat anak mengalami sakit berpanjangan.

Sebenarnya, ada cara yang betul boleh kita lakukan tanpa menggunakan ubat-ubatan yang diyakni berkesan dan selamat buat anak kita terutamanya bayi.

Terkesan dengan perkongsian petua mengubati selsema bayi di Facebook yang tidak benar, Dr Rusyainie Ramli berkongsi cara yang sepatutnya dilakukan ibu bapa apabila anak selsema dan batuk.


BAYI KENA SELSEMA DAN BATUK?

NAK BUAT APA?

Status saya ini panjang. Dr Ninie memang tidak reti berleter dan membebel pendek. Kalah mesingan kalau menaip.

Kentang adalah makanan. Ma saya kata, makanan tidak boleh letak di kaki. Itu tidak ada adab namanya. Tidak tahulah mak orang lain. Lepas letak di kaki, takkan nak guna untuk masak. Maka ia akan ke tong sampah. Membazir kan?

Kentang ada enzim nama polyphenil oxidase. Bila kita potong kentang, enzim ini akan bertindak balas dengan oksigen udara dan ia akan tukar warna kentang ke warna perang. Bukan sebab kentang itu serap haba badan kita. Itu mitos!

PERCAYALAH SAYA KATA, kalau buat status mengarut macam ini, mesti selalunya bani jamu atau bani produk sampah yang seangkatan dengannya. Yang netizen pun, melantun-lantun la dok seru nama sekalian manusia lain untuk sama-sama percaya karut marut bani jamu. Aduh.

Bayi bawah umur 2 tahun secara amnya tidak ada ubat selsema dan batuk yang sesuai untuk dia. Kena bincang dengan doktor yang merawat ya.

Tapi sebagai mama yang pernah ada bayi, ya, anak-anak saya juga melalui proses yang sama macam orang lain, bukan terus saja sudah sekarang Tingkatan 1, saya boleh bayangkan gusarnya dan risaunya mak yang bayinya kena selsema dan batuk.

Mak ayah kena tahu yang bayi bernafas menggunakan hidungnya hampir sepenuhnya berbanding dengan mulut pada usia kurang 6 bulan, Maka, bila hidungnya tersumbat dengan hingus, memanglah dia sangat tidak selesa.

Batuk selsema ini ambil masa juga nak baik. Boleh sampai seminggu.

BACA >>> Elak Makanan Dan Minuman Sejuk Ketika Selsema? Doktor Ini Terangkan Kenapa…

JADI APA NAK BUAT UNTUK BANTU BAYI YANG KENA SELSEMA?

1. Bayi yang umur kurang dari 3 bulan, demam ke, batuk ke, selsema ke, tidak kiralah simptom mana pun, WAJIB BAWA JUMPA DOKTOR SEGERA. Jangan simpan bayi di rumah dan cuba rawat sendiri.

7 Tip Rawat Selsema Dan Batuk Bayi

Kalau bayi itu dah besar sikit dan…

  • Demam sudah 3 hari
  • Bayi bernafas laju dan berbunyi semacam
  • Bayi susah nak bernafas atau otot di dada dan abdomen terperosok ke dalam bila bayi menarik nafas
  • Tidak mahu minum susu
  • Tidak aktif macam biasa
  • Menangis dan merengek tidak henti

Cepat-cepat bawa bayi jumpa doktor. Jangan dengar petua adik, makcik atau nenek bawang.

2. Bersihkan hingus bayi yang tersumbat itu. Caranya:

  • Baringkan bayi. Pastikan kepala dia tinggi sikit.
  • Picitkan 1-2 titik normal saline ke dalam 1 lubang hidung bayi. Pegang kepala bayi dengan tapak tangan selama 10 saat. Nak elakkan kepala dia bergerak-gerak.
  • Titiskan dekat lubang hidung yang satu lagi.

Titisan normal saline itu pun sudah boleh bantu bersihkan mukus dalam hidung bayi.
Tapi kalau macam sudah 2 ke 3 minit, hidung bayi masih macam tersumbat, boleh guna penyedut hingus bayi yang ada jual di farmasi. Sekarang ada banyak jenis. Boleh bincang dengan pegawai farmasi bergantung pada kaedah nak guna dan harga. Belajar cara guna yang betul dengan pegawai farmasi bila sudah beli.

Ingat ya, sehari hanya boleh sedut hingus bayi itu 2-3 kali saja. Nanti luka pula lapisan mukosa dalam hidung bayi. Di klinik kesihatan, memang ada normal saline ini. Doktor memang bagi untuk bayi selsema.

Jangan sedut hingus bayi dengan mulut mak. Sendiri sebab jangkitan kuman itu memang la berjangkit pada mak pula.

3. Pastikan bayi masih menyusu seperti biasa. Hidung tersumbat memang buat dia tidak selesa untuk minum susu. Jadi, paling senang, sudah bersihkan hidung dia, boleh bagi dia menyusu. Kalau dia tidak nak, bawa jumpa doktor cepat-cepat sebab bayi senang sangat kena dehidrasi. Ini benda bukan main-main.

Tip Rawat Selsema Dan Batuk Bayi

4. Bayi memang tidak boleh keluarkan kahak sendiri. Otot dia belum cukup kuat. Satu cara yang boleh dibuat ialah, dengan gunakan wap air untuk kurangkan hidung tersumbat dan cairkan kahak. Kalau ada pemanas air dalam bilik air, buka pili air dan biar wap air penuh dalam bilik air. Duduk dengan bayi dalam bilik air itu dalam beberapa minit.

Kalau ada humidifier pun boleh guna. Cukup dengan air saja. Tapi kalau wap air yang baru mendidih itu jangan la guna, kang melecur pula bayi.

5. Atau, nak senang lagi, baringkan bayi dengan badan terlangkup ke bawah, tepuk-tepukkan belakang bayi dengan tapak tangan yang berbentuk berkaup. Jangan risau kalau bayi telan kahak dia, itu normal.

6. Tolonglah basuh tangan dengan kerap. Nak pegang bayi, basuh tangan. Lepas pegang bayi, pun basuh tangan sekali lagi. Jangan cium-cium bayi yang tengah sakit itu. Ajar anak-anak yang lain perkara yang sama. Sebab kita tak nak satu keluarga pula sakit.

BACA >>> Petua Atasi Masalah Hidung Bayi Tersumbat Ketika Selesema

7. Kalau bayi demam, boleh bagi ubat paracetamol jenis sirap untuk kurangkan demam dia. Pastikan dos itu betul ikut berat bayi dan berikan ikut jarak waktu yang konsisten, 6 jam sekali. Macam saya kata mula-mula tadi, kalau demam itu masuk 3 hari, terus pergi jumpa doktor.

Hujungnya, apa-apa pun, bawalah bayi bawa jumpa doktor ya kalau bayi sakit dan kita macam tidak pasti keadaannya ok ke tak.

Tolong jangan tanya soalan konsultansi pasal bayi kalian di status saya. Saya takkan jawab soalan kalian. Bukan sebab sombong. Tapi saya kena jaga etika saya.

Dr. Ninie
Bani jamu dan merapu berpisah tiada.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda