MAHU mendidik anak berpuasa memang satu cabaran apabila Ramadan menjelma. Kita disarankan mengajar anak berpuasa sejak kecil supaya apabil sudah besar nanti dia dapat lebih memahami tentang kewajipan, amalan dan manfaat berpuasa.

Jadi apa kata kita ikuti tip-tip melatih anak berpuasa supaya berpuasa dapat jadi pengalaman menyeronokkan. Kita pula pasti jadi lebih seronok jika anak dapat berpuasa tanpa dipaksa-paksa nanti.

1. TERANGKAN TENTANG PUASA

Sebelum melatih anak berpuasa, apa kata ajar perkara utama terlebih dahulu iaitu memberi kefahaman tentang puasa. Beritahu mereka tentang kelebihan dan ganjaran orang berpuasa.

Terangkan kepada anak dalam bentuk cerita supaya dia lebih tertarik. Contohnya, apabila anak mengadu lapar atau penat, kita kaitkan cerita tentang kisah sahabat dan nabi. Baru dia bersemangat  mahu berpuasa.

2. REHAT YANG CUKUP

Bagi kanak-kanak, berpuasa ialah pengalaman yang memenatkan. Jadi peranan kita ialah memberikan dia rehat yang cukup. Selepas Isyak atau terawih ialah masa untuk tidur kerana mereka perlu bangun bersahur pada keesokan hari.

Jika suri rumah sepenuh masa, ajar anak untuk tidur sekejap selepas Zuhur supaya dia kekal bertenaga hingga waktu berbuka walaupun buat banyak aktiviti sebelah pagi.

Jangan biarkan anak tidur lewat, terutama hari persekolahan kerana akan membuatkan dia tidak tahan lapar.

3. BUAT AKTIVITI SERONOK

Perkara biasa jika anak berpuasa sering mengadu lapar dan penat. Jadi, apa kata kita ajak mereka bermain atau buat aktiviti menyeronokkan supaya dia lupa sebentar tentang lapar dan dahaga. Buatlah apa saja permainan yang dia suka dan seronok seperti membaca buku cerita.

4. LATIH PUASA BERPERINGKAT

Bagi kanak-kanak, berpuasa memang sukar kerana makanan dan minuman sentiasa jadi godaan. Cara terbaik ialah melatih secara berperingkat. Jika anak tidak mampu berpuasa penuh, berpuasa separuh hari mengikut kemampuan mereka sudah memadai.

Jangan paksa anak berpuasa jika tidak mampu. Biarkan dia buat secara berperingkat dan perlahan-lahan. Tetapi sekiranya dia sangat bersemangat, teruskan.

5. AJAK ANAK SEDIAKAN HIDANGAN BERBUKA 

Anak pasti seronok kalau kita ajak dia menyediakan hidangan berbuka bersama. Mereka pasti akan rasa lebih dihargai dan merindui detik berbuka puasa yang meriah setiap kali Ramadan.

6. GANJARAN

Apabila anak berjaya berpuasa penuh, jangan lupa berikan dia ganjaran sebagai tanda penghargaan dan ucapkan tahniah. Boleh baca artikel ini: 7 Cara Lain Beri Ganjaran Pada Anak Bukan Mainan Saja.

Ganjaran paling sesuai ialah masak makanan kegemarannya ketika bersahur dan berbuka puasa. Sekali-sekala belilah makanan di bazar Ramadan seperti kuih, air soya dan makanan yang dia mahukan.

7. MAKANAN LAZAT DAN BERTENAGA

Sama ada  berbuka dan bersahur, sediakan anak dengan makanan lazat, berkhasiat, bertenaga dan menyelerakan. Makanan itu membantu anak kekal bertenaga sepanjang puasa. Makanan tambahan seperti vitamin juga sangat membantu.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda