BUKAN mudah mahu keluar rumah dengan anak kecil tanpa ditemani suami. Ragam anak yang akan menunjukkan bermacam-macam peel boleh bikin kita letih dan stres. Sudahnya, terpaksalah menunggu hujung minggu atau masa suami bercuti untuk keluar membeli-belah bersama.

Sekarang, apa kata kita cuba tip di bawah ini. Manalah tahu selepas ini kalau bawa anak pergi ber-shopping, tidaklah lagi jadi masalah besar.

1. JANGAN KELUAR WAKTU PUNCAK

Jika kita tidak bekerja, eloklah membeli-belah dengan anak pada waktu orang bekerja. Sebaliknya, jika ibu berkarier, kita mungkin boleh keluar pada awal pagi hujung minggu.

Waktu ini biasanya kurang sesak. Anak biasanya masih segar dan mood juga elok kerana baru saja bangun tidur. Tetapi jangan lupa, pastikan anak sudah mandi dan bersarapan. Jangan pula lambat bersiap sampai sudah tengah hari baru hendak bergerak.

2. CARI LOKASI MUDAH PARKIR

Pastikan tempat yang ingin dituju mudah parking dan ada kemudahan troli untuk letak barang. Jika boleh, parkir kenderaan berhampiran pintu masuk kerana kita perlu memunggah barang dan membawa masuk anak dalam kenderaan.

3. PASTIKAN MOOD ANAK BAIK

Mood anak ialah antara faktor utama yang perlu diambil tahu sebelum keluar rumah. Apabila mood anak baik, tidak lapar, tidak mengantuk dan tidak penat, dia akan kurang meragam.

Elak keluar ketika anak tidur, biasanya tengah hari. Jika mahu keluar sebelah petang, pastikan anak tidur terlebih dulu.

4. JADIKAN BELI-BELAH MENYERONOKKAN

Anak yang sudah bosan akan meminta ibu bapanya segera pulang ke rumah. Jika tidak dilayan, pasti merengek. Jadi untuk elak anak mula meragam, jelaskan kepada anak tujuan kita membeli-belah.

Biarkan anak rasa seronok membeli-belah. Boleh buat teka teki seperti bertanya tentang nama sayur dan buah. Minta juga anak pilih sayur dan buah kegemaran mereka.

5. BERI GANJARAN

Anak pasti penat menemankan kita membeli-belah. Sebagai ganjaran, apa kata kita belikan sesuatu yang dia mahu seperti makanan atau mainan disukainya. Pasti dia suka dan seronok mahu keluar membeli-belah lagi pada masa akan datang.

6. RANCANG PEMBELIAN

Senaraikan barang yang mahu dibeli sebelum keluar rumah. Pastikan tidak meluangkan masa terlalu lama untuk membeli barang. Lagi cepat kita beli barang, lagi kurang kemungkinan anak mengamuk.

7. SIAP SEDIA APA JUA KEMUNGKINAN

Kejadian yang biasa berlaku ialah adik-beradik bergaduh atau anak tantrum (baca: buat perangai). Pastikan kita tahu menyelesaikan masalah itu supaya anak tidak bergaduh hingga mengganggu ketenteraman orang ramai.

Tetapi jika semua tip di atas masih tidak berjaya dilakukan, kenalah beli-belah atas talian atau online saja. 😛 Lagipun zaman sudah maju dan semua benda boleh dibeli secara online .

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda