KERETA sorong bayi atau stroler ialah antara aksesori penting bayi yang perlu disediakan ibu bapa. Kepada yang sedang mencari, adakah anda sudah menemui stroler yang sesuai dengn keperluan dan bajet?

Sudah tentu kita tidak mahu tersalah beli produk yang sudahlah mahal, tetapi tidak sesuai pula dengan keperluan. Ada 7 tip yang perlu dibuat sebelum berkira-kira mahu membeli stroler sesuai buat si anak. Kata pepatah, biar alah membeli, tetapi menang memakai. 😀

1. IKUT KEMAMPUAN

Ada pelbagai jenis stroler bermula harga di bawah RM100 hingga RM5,000 bergantung jenama dan fungsi. Tetapi ingat, yang mahal itu tidak semestinya berkualiti, dan murah itu bukanlah tidak bagus! Ini semua bergantung kepada cita rasa dan kemampuan.

Pastikan stroler mesra bayi, tiada bucu tajam, material selesa dan selamat supaya tidak memudaratkan anak. Nanti kalau sudah tersalah beli, bukankah membazir saja?

2. UTAMAKAN KESELAMATAN

Bagaimanakah mengetahui stroler itu selamat atau tidak? Ok, kalau stroler untuk bayi baru lahir dan ruang letak bayi pula besar, pastikan stroler tersebut:

  • Ada tali pinggang boleh laras yang dapat diubah mengikut saiz bayi.
  • Uji ketahanan tali pengikat untuk pastikan bayi selamat.
  • Pastikan stroler mampu menahan beban (boleh guna lama).
  • Uji kemampuan brek stroler.

3. MUDAH 

Fikirkan juga aspek keselesaan kita sebagai ayah dan ibu. Kena ingat juga, kita yang akan mengangkut stroler itu ke hulu kehilir. Pastikan stroler:

  • Dapat jimat ruang dalam kereta atau rumah.
  • Mudah dilipat dan disimpan dalam but kereta.
  • Tidak terlalu berat.

4. BOLEH GUNA LAMA

Stroler bukan pakai setahun dua sudah boleh buang. Kalau hendak guna lama, cari stroler yang dapat menampung berat anak hingga usia 3 tahun atau lebih. Ada stroler yang hanya dijual untuk bayi baru lahir dan ada pula bagi kanak-kanak usia 3-4 tahun. Pastikan tahu kegunaan stroler sebelum membeli.

5. BOLEH LARAS

Kalau beli stroler untuk bayi baru lahir, pastikan ada fungsi boleh laras. Kerusi boleh laras dapat mudahkan bayi untuk duduk atau tidur dalam stroler. Cuba periksa selesa untuk digunakan atau tidak. Misalnya, kalau si ayah tinggi lampai, terpaksa pula membongkok sebab hendak capai stroler! Jadi pastikan stroler betul-betul tepat untuk ayah dan ibu.

6. MATERIAL

Selain selesa, ambil kira daya tahan stroler. Misalnya adakah kalis air, tahan lasak dan tahan karat? Ada pelbagai jenama dijual di pasaran seperti Bugaboo, Combi, Graco, Sweet Cherry, Quinny, Halford, MacLaren dan banyak lagi.

7.  AKSESORI

Ada stroler yang datang dengan aksesori tambahan seperti kerusi keselamatan, pengusung atau carrier, selimut, penghadang hujan dan ruang letak barang. Pilih aksesori yang diperlukan dan pastikan berbaloi dengan harganya.

TIP TAMBAHAN:

  • Kalau beli stroler terpakai, seeloknya pergi periksa dahulu keadaan stroler. Takut juga kalau dapat stroler yang sudah koyak, material tidak bagus atau tidak sesuai dengan keperluan.
  • Sekiranya beli secara online, pastikan sudah cuba atau tahu jenis material, keselesaan, tinggi, fungsi dan sebagainya supaya tidak rugi nanti!
  • PERINGATAN! JANGAN pilih berdasarkan rupa cantik semata-mata. Kaji fungsi dan ketahanan stroler sebelum membeli ok!

Semoga dapat membantu anda buat pilihan terbaik dan pelaburan yang bijak!

SUMBER: BabyList

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda