“Aku bayar dia, biarlah dia buat semua kerja, kalau mandikan anak pun aku kena buat, dia kerja apa?”

Minta buang mindset ini ye ibu-ibu semua. Memang salah sangat persepsi macam itu. Tidak kira siapa pun pengasuh, di taska, dijemput ambil atau di rumah persendirian, hubungan baik dengan pengasuh sangat penting.

Mari lihat perkongsian Nur Baizura Sulaiman di laman Facebooknya mengenai tip menjaga hubungan baik dengan pengasuh. Semoga bermanfaat untuk semua. 🙂

* Ada beberapa suntingan ayat dibuat mengikut gaya bahasa kami tanpa menjejaskan maksud asal penulis.

1. KELENGKAPAN

Sediakan kelengkapan sepenuhnya seperti pakaian, minyak angin, susu dan botol susu. Pakaian misalnya, asingkan untuk dipakai siang dan malam. Lipat pakaian berpasangan siap baju dan seluar supaya pengasuh tidak perlu ambil masa lama untuk suai padan.

2. MAKANAN

Jika bayi sudah mula boleh menjamah makanan, buatlah puri atau bubur untuk dibekalkan kepada pengasuh. Jadi tidaklah pengasuh perlu asingkan masakan untuk anak kita. Kalau anak ada alahan pun, tidak timbul masalah. Sebab kita sudah maklum dan pengasuh hanya perlu berikan makanan yang kita berikan.

Kalau pengasuh sediakan makanan untuk anak, sebaiknya kita belikan makanan mentah seperti ayam, ikan, sayur dan beras. Semoga dia masak dengan gembira dan mendoakan anak kita, kita pun tenang bekerja.

3. PENGENDALIAN SUSU IBU

Bagi memudahkan kerja pengasuh, berikan susu ibu yang cair dan beku. Buat label supaya pengasuh boleh beri ikut turutan. Elok juga sediakan pemanas elektrik supaya pengasuh tidak perlu memanaskan susu yang mungkin suhunya tidak sesuai.

Lebih baik jika bekalkan susu ibu dalam botol berbanding plastik. Ikutkan pengalaman peribadi, susu dalam plastik lebih mudah bocor hingga susu tidak dapat diminum bayi.

4. REZEKI KITA KONGSI BERSAMA

Pengasuh sudah seperti ahli keluarga sendiri. Jadi apa salahnya, pada hari lahir, hari raya atau dapat bonus, kita kongsikan rezeki dengan mereka. Terpulanglah apa yang kita mampu, sedikit dikongsi, banyak dirai.

Masa kecil dulu, kalau ada pasar malam, mak saya (dulu kerja mengasuh) kadang-kadang dapat roti John. Kami adik-beradik memang gembira bukan main. Seronok betul dapat roti John RM3 tu. Lihatlah, harga bukan ukuran, tetapi nilai kasih yang dibina lebih bermakna.

5. BERITAHU PENGASUH TENGANG SITUASI KITA

Sama ada kita hantar anak awal atau lambat, beritahu pengasuh. Sama juga kalau kita terpaksa pulang lewat, beritahu pengasuh keadaan kita supaya mereka tidak tertunggu-tunggu.

Kita manalah tahu jika dia perlu ke kedai atau mahu berjemaah Maghrib di surau. Kalau sudah diberitahu, bolehlah mereka merancang jadual. Seperti kita, mereka juga perlukan ‘me time‘.

6. KEBERSIHAN DAN KEKEMASAN

Kalau kita hantar anak jam 7 pagi ke atas, lebih elok kita mandikan siap-siap. Kalau tidak sempat, tukarkan lampin. Aduh. Lampin bocor boleh ganggu mood pengasuh.

Bab kekemasan ini lebih kepada rambut anak. Ada anak yang rambutnya sampai tutup mata. Kalau nak makan, kasihan betul, asyik kena sisirkan rambut ke tepi. Mahu disikat rambutnya, tersekat pula di skala 6. Alahai, kalau jaga 6 orang dan semua anak itu pun rambutnya tersekat , entah bila pula sempat siap didandan.

7. DOA

Mohon kepada Allah supaya anak kita sentiasa dalam peliharaan-Nya. Anak-anak saya dihantar kepada pengasuh sebaik saja cuti bersalin habis. Walaupun anak masih bayi, tetapi saya setiap hari mesti pesan supaya elok-elok dan dengar cakap pengasuh. Saya beritahu, kalau kita baik, semua orang sayangkan kita.

Saya juga bacakan surah al-Insyirah pada mereka, biarkan mereka dengar dengan niat hati mereka lembut dan mudah untuk pengasuh jaga. Selebihnya, kita berserah kepada Allah sebab Dialah Maha Berkuasa atas tiap sesuatu.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda