MASALAH kaki bengkak dialami wanita hamil disebabkan perut yang semakin membunting besar ketika masuk trimester terakhir. Ini kerana berlaku banyak tekanan ke atas aliran darah dari bahagian bawah badan ke atas.

Bengkak ringan boleh dianggap gejala normal bagi ibu hamil. Bagaimanapun, jika ibu mengalami tanda seperti muka dan kaki bengkak tiba-tiba, dan bengkak itu pula cuma sebelah kaki, segera berjumpa doktor.

Ada beberapa petua untuk ibu hamil jika mahu mengurangkan masalah kaki bengkak:

1. MAKANAN TINGGI KALIUM 

Amalan pemakanan yang betul dapat membantu ibu hamil mengurangkan masalah kaki bengkak. Pengambilan sumber kalium dalam pemakanan penting untuk pertumbuhan sistem saraf dan otot. Pisang, bayam, tomato, daging, susu dan kekacang ialah jenis makanan yang mengandungi sumber kalium tinggi.

Elakkan makan makanan tinggi sodium seperti garam, kacang masin, jeruk, telur masin dan ikan kering.

2. LUNJUR KAKI

Sewaktu berehat, lunjurkan kaki pada paras sama dengan punggung bagi membantu melancarkan peredaran darah. Semasa di tempat kerja, letakkan bangku kecil atau kotak supaya senang melunjurkan kaki.

Jika waktu kerja memerlukan ibu duduk sepanjang hari, pastikan ada waktu rehat untuk bangun dan berjalan. Setidak-tidaknya, luruskan kaki sambil meregang dan melentukkan jari-jari kaki. Pastikan darah dalam badan sentisa bergerak.

Selain itu, sesekali lakukan urutan pada kaki dengan menggunakan minyak angin bagi mengurangkan bengkak. Elakkan bersilang kaki semasa duduk.

3. ALAS KAKI DENGAN BANTAL 

Ketika tidur, cuba berbaring dalam keadaan mengiring ke kiri bagi mengurangkan tekanan pada vena kava bawah. Jika ibu tidur terlentang, ini memberi tekanan tambahan pada vena.

Alaskan bantal pada kaki supaya kaki terletak tinggi bagi mengelak dan mencegah darah terkumpul. Ibu juga boleh meletakkan bantal pada bahagian punggung ketika tidur mengiring.

4. PAKAI STOKIN 

Selain bantal, ibu juga boleh pakai seluar stokin sokongan (support tights) sebelum tidur dan buka pada waktu pagi supaya darah tidak terkumpul di sekeliling buku lali. Jika kaki bengkak, tanya doktor mengenai stokin tekanan yang dijual di farmasi.

5. SENAMAN

Jangan biarkan kaki statik tanpa pergerakan. Luangkan masa untuk bersenam setiap hari, paling mudah lakukan aktiviti berjalan. Aktiviti berjalan dalam air juda dapat membantu selain berenang. Cari senaman ringan lain yang dibenarkan untuk wanita hamil.

6. TUAM AIS

Faktor pemakaian kasut dan pakaian turut menjadi punca masalah bengkak pada kaki. Elakkan memakai kasut tumit tinggi dan pakaian ketat hingga mengganggu peredaran darah pada pergelangan tangan, buku lali atau kaki.

Jika bengkak masih tidak surut, cuba lakukan kaedah menuam ais pada kawasan yang bengkak. Selain itu, ibu juga boleh merendam kaki bengkak dalam air suam yang dicampur garam selama 10-15 minit. Rendaman ini baik bagi mengurangkan lenguh kaki.

7. BERJUMPA DOKTOR

Segera berjumpa doktor jika bengkak kaki berlarutan atau semakin teruk. Dapatkan pemeriksaan doktor jika masalah bengkak membimbangkan dan berat badan bertambah drastik.

Ibu dinasihatkan berhati-hati dengan keadaan ini kerana risau disebabkan gejala lain yang mungkin membahayakan diri dan janin. Ingat, gejala bengkak ini hanya sementara dan akan hilang selepas ibu bersalin.

Ibu juga dinasihatkan mengetahui masalah darah beku pada kaki ketika hamil menerusi pautan ini: Jangan Ambil Mudah Darah Beku di Betis Ibu Hamil.

SUMBER: Zuriat

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda