HUBUNGAN ibu dan anak bermula daripada dalam kandungan. Semua perbuatan ibu bayi boleh rasa, sebab itu emosi ibu sepanjang kehamilan juga perlu sentiasa baik kerana dikhuatiri akan memberi kesan kepada bayi dalam kandungan.

Adalah penting ibu buat perkara yang baik-baik dan disukai anak sepanjang kehamilan. Jadi, apakah perkara yang bayi kita suka ketika dalam rahim?

Berikut adalah 7 perkara yang ibu hamil boleh lakukan bagi mengeratkan lagi hubungan ibu dan anak sepanjang kehamilan ini.

1. GELAK TAWA IBU

Ada kajian membuktikan bahawa bayi dalam kandungan akan bergerak aktif ke atas dan ke bawah apabila mendengar ketawa ibunya. Hormon yang terhasil ketika ibu ketawa dan gembira memberi kesan kepada bayi. Jadi, sepanjang kehamilan binalah suasana gembira dan penuh gelak tawa.

2. MASA ISTIREHAT

Sedar atau tidak, bayi dalam kandungan biasanya akan bergerak aktif ketika ibu sedang berehat. Apabila kita baring dan sedang melapangkan minda, anak dalam perut mulakan aktif semacam. Perasaan tenang itu membuatkan bayi lebih selesa.

3. MENDENGAR MUZIK

Muzik memberi manfaat kepada ibu dan bayi dalam kandungan. Untuk bayi, ia meransang deria dan membantu perkembangan otak. Anda dinasihatkan agar memainkan muzik pada tahap kekuatan yang sederhana dan muzik lembut serta menenangkan.

BACA>>> 15 Makanan yang Ramai Tidak Tahu Jadi Punca Keguguran Awal Kehamilan

4. MENDENGAR SUARA IBU

Pada minggu ke 25-26 kehamilan, bayi akan mula memberi tindak balas pada bunyi yang didengari. Disebabkan suara kita sangat jelas berbanding dengan bunyi lain, maka ia memudahkan mereka mengenal suara ibunya. Suara ibu memberikan keselesaan dan jaminan keselamatan buat mereka. Jadi, eloklah kita kerap membaca dan bercakap pada bayi dalam kandungan.

5. GOSOKAN PADA PERUT

Pada minggu ke-21 bayi sudah cukup besar untuk merasa sentuhan kita daripada luar. Pada waktu inilah, gosokan pada perut perlu dilakukan kerana bayi sangat menyukainya. Lebih elok jika kita menggunakan minyak kemudian gosok secara perlahan-lahan. Kadangkala, bayi juga akan memberikan reaksi pada gosokan tersebut.

6. MANDI AIR SUAM

Bayi yang sudah membesar dalam perut boleh mula merasai perubahan suhu pada lapisan perut ibu. Ketika ini, mandi air suam memberikan keselesaan dan menenangkan bayi. Mandilah dengan aliran air yang perlahan di atas perut kerana ia akan memberikan ketenteraman pada bayi.

7. MAKANAN MANIS

Bayi dalam minggu ke 13-15 kehamilan sudah mempunyai deria rasa. Bayi dikatakan cenderung pada makanan manis kerana ia mendedahkan mereka kepada susu ibu. Makanan yang kita makan itulah yang bayi kita dapat. Jadi, jika mahu memberikan makanan yang berkhasiat pada anak, bolehlah mulakan seawal daripada kandungan.

Bagaimanapun, buat ibu hamil yang mempunyai masalah kesihatan tidak digalakkan mengambil banyak makanan manis ya. Bahaya dan kawal makanan. Lebih elok makan makanan berkhasiat, yang lebih baik untuk diri sendiri dan anak dalam kandungan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda