PENGALAMAN menyambut anak pertama kalau tidak banyak, pasti sedikit menggerunkan bakal ayah. Apatah lagi apabila mendengar bermacam-macam cerita keinsafan yang dikongsikan rakan-rakan.

Detik itu memang harus dilalui setiap ayah kerana sebaik saja melihat isteri kesakitan sepanjang proses bersalin, pengalaman itu pasti membuatkan suami lebih menghargai isteri.

Jangan bimbang, mari ikuti tip di bawah ini sebagai salah satu persediaan menunggu cahaya mata pertama anda supaya tidaklah menggelabah ketika dibawa masuk ke dalam bilik bersalin nanti!

1. AMBIL PERHATIAN

Proses bersalin mungkin menarik tetapi juga membosankan bila kita terpaksa menunggu lama sehingga berjam-jam sebelum masa untuk bersalin tiba. Masa ini ambil perhatian isteri dengan perbualan, memainkan muzik atau permainan kad agar isteri menjadi sibuk dan tidak terkesan dengan ketidakselesaan yang dialami.

2. JADI ‘PEGUAMBELA’ ISTERI

Ketika proses bersalin, kesakitan yang tidak tertanggung menyebabkan isteri tidak mampu berfikir dengan betul dan bercakap tentang kesakitan yang dialaminya. Ketika inilah, peranan suami menjadi seperti ‘peguambela’ kepada isteri.

3. TUNJUK SOKONGAN

Isteri boleh menjadi panik ketika proses bersalin dan suami adalah individu yang tepat membantu memberi sokongan dengan membantu pernafasan isteri. Suami juga boleh membantu pasangan dengan memberikan makan kuib ais, lap peluh dan gosok belakang.

4. SEDIA DENGAN EMOSI ISTERI

Isteri dalam kesakitan boleh bertukar menjadi singa, jangan mudah terasa dengan percakapannya. Mungkin isteri tidak sengaja kerana sakit yang ditanggung. Jadi untuk mengelakkan perkara itu, suami jangan jadi ‘menjengkelkan’ ketika proses bersalin nanti. Silap-silap isteri bertukar jadi Gorilla pula.

5. RAKAM KENANGAN

Ketika proses bersalin, isteri tidak akan terfikir untuk merakamkan kenangan indah dalam hidupnya. Jadi ketika ini ambil gambar atau video kenangan anda (dengan persetujuan pihak hospital). Lebih baik bincang dahulu momen yang ingin dirakam. Tapiiii… jangan sehingga menggangu kerja doktor dan jururawat ya!

6. BERSEDIA UNTUK MENERIMA KELAHIRAN

Selepas berjam-jam penantian yang penuh dengan keringat dan air mata, bersedia dengan masa kelahiran anak. Masa inilah tugas anda bermula sebagai seorang ayah, memotong tali pusat. Biasanya proses ini, doktor akan ajar, jangan risau ya! Suami pasti akan rasa mahu menangis, menangislah, itu naluri ayah bila jumpa anak buat pertama kali.

7. HARGAI ISTERI,BERI HADIAH

Selepas anak dilahirkan, hubungi ibu bapa, mak dan bapa mertua, adik beradik dan saudara mara bagi memaklumkan berita gembira itu. Hargai isteri dengan memberikan hadiah seperti bunga , coklat atau nota puitis tanda cinta padanya dan berterima kasih kerana melahirkan zuriat.

SUMBER: Parents.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda