RAMAI ibu tidak mahu bersenam ketika hamil kerana percaya boleh memudaratkan bayi. Sebenarnya, ibu mengandung digalakkan bersenam bukan untuk kurus saja, tetapi bagi meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental yang dapat membantu memudahkan proses bersalin nanti.

Bagaimanapun, cara bersenam pula mestilah mengikut teknik senaman khas untuk ibu mengandung. Jangan pula seperti atlit Olimpik lagaknya.

MANFAAT SENAMAN KEPADA IBU HAMIL

1. KUATKAN OTOT

Senaman boleh menguatkan kelenturan otot dinding perut dan pinggul yang penting dalam proses kelahiran nanti.

2. ELAK PELBAGAI PENYAKIT

Menerusi senaman, kita boleh membantu tubuh jadi lebih sihat dan mengatasi masalah penyakit seperti sakit pinggang dan buasir.

3. HILANGKAN STRES

Dalam proses kehamilan, kita juga akan berdepan tekanan. Dengan senaman kita boleh membantu diri jadi lebih tenang dan mengurangkan tekanan.

4. TEKNIK PERNAFASAN

Bersenam ialah salah satu proses pembelajaran untuk mengawal teknik pernafasan ketika bersalin nanti.

5. LANCAR PROSES BERSALIN

Kekerapan bersenam akan melancarkan proses kelahiran dan meningkatkan potensi tinggi bersalin normal.

6. TIDUR

Boleh menstabilkan mood sekali gus membantu meningkatkan kualiti tidur yang lebih tenang sepanjang proses kehamilan.

7. KURANG BERAT BADAN

Senaman kektika hamil boleh memudahkan kita mengurangkan berat badan selepas bersalin.


LARANGAN KETIKA BERSENAM

1. SENAMAN BARING

Ketika usia kandungan dalam trimester kedua dan ketiga, elakkan senaman yang memerlukan kita baring secara menelentang kerana posisi ini mengurangkan pengaliran darah ke janin.

2. SENAMAN BERAT

Elakkan senaman yang memerlukan kerahan tenaga atau yang boleh menyebabkan kita termengah-mengah. Jika sesak nafas, segera berhenti kerana itu menandakan kita dan janin kekurangan oksigen.

3. KESEIMBANGAN 

Beri perhatian kepada keseimbangan tubuh semasa melakukan senaman agar tidak jatuh yang akan memudaratkan kita dan bayi dalam kandungan.

4. GERAKAN TRAUMA

Hati-hati dengan gerakan yang boleh menimbulkan trauma dan kesakitan pada bahagian perut.

5. MINUM AIR

Disarankan minum banyak air ketika bersenam bagi mengurangkan risiko dehidrasi dan memastikan keperluan cecair dalam tubuh sentiasa cukup kerana banyak mengeluarkan peluh.

6. SENAMAN REGANGAN

Penting melakukan senaman regangan terlebih dahulu. Buat sebelum dan selepas bersenam.

7. ELAK KAFEIN

Elakkan ambil minuman berkafein atau makanan berminyak sebelum bersenam.

Senaman yang baik perlu dilakukan secara rutin dan konsisten sekurang-kurangnya tiga kali seminggu mengikut kemampuan diri.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda