SUSU ibu mempunyai banyak khasiat kepada bayi. Bagi meneruskan penyusuan susu ibu kepada anak, ibu bekerja khususnya akan mengepam susu untuk disimpan dalam peti sejuk untuk diberikan kepada bayi.

Namun, jika tidak dilakukan dengan betul boleh menyebabkan susu yang disimpan kehilangan khasiat dan nutrisi atau mungkin boleh terjadi perkara yang paling menakutkan iaitu keracunan.

Berikut adalah kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh ibu tanpa sedar hingga boleh membahayakan bayi.

1. BEKAS TERCEMAR

Susu botol tidak dicuci dengan betul boleh menyebabkan ia menjadi tempat pembiakan bakteria. Cara terbaik membersihkan botol susu atau bekas susu adalah dengan rendam dengan air suam dengan sedikit garam kemudian keringkan.

Kita juga boleh membersihkan botol dan bekas dengan sabun khas. Elok lakukan pembersihan botol dan bekas ini seminggu sekali dengan air panas.

2. SIMPAN DALAM TEMPOH YANG LAMA

Pastikan susu tidak disimpan terlalu lama di dalam peti ais. Pastikan kita letak tarikh pada semua bekas susu tersebut. Susu ibu boleh disimpan hingga 6 bulan di dalam peti sejuk beku dan 3 bulan bagi peti sejuk 2 pintu.

3. SIMPAN DALAM BEKAS PLASTIK 

Jangan simpan susu ibu di dalam bekas plastik seperti aiskrim atau dadih. Jika boleh gunakan bekas plastik bebas BPA-Free yang selamat untuk anak.

4. SIMPAN SUSU BERSAMA MAKANAN MENTAH

Asingkan susu ibu daripada makanan mentah yang kita simpan di dalam peti sejuk seperti ikan, ayam dan daging kerana dikhuatiri menyebabkan bakteria berpindah ke susu yang disimpan. Jika tidak mempunyai pilihan, pastikan susu ibu itu ditutup dengan rapat dan jangan simpan secara terbuka.

5. BEKU SEMULA SUSU LEBIHAN

Jangan sesekali amalkan sikap membekukan semula susu yang tidak habis. Susu yang telah dicairkan tidak boleh dibekukan semula kerana ia mudah dicemari bakteria. Buang saja susu yang telah dicairkan walaupun tarikh luputnya masih lama. Bahaya untuk bayi tau!

6. KEBERSIHAN TANGAN KETIKA MENGEPAM

Ada ibu yang sibuk hingga lupa membersihkan tangan sebelum mengepam. Kadang-kadang ketika di tempat kerja, tandas jauh, ada ibu yang terus saja mengepam tanpa membasuh tangan. Tahukan anda? Tangan yang kotor juga boleh menyebabkan bakteria masuk ke dalam susu?

7. PROSES MENCAIRKAN SUSU YANG SALAH

Mungkin ada ibu bapa atau pengasuh yang sudah terbiasa untuk mencairkan susu dengan meletakkannya di dalam air panas dan microwave. Itu salah dan bahaya kerana ia akan menyebabkan nutrisi di dalam susu sudah hilang.

Cara terbaik, letakkan susu ibu yang beku ke bahagian bawah peti sejuk dan hanya keluarkan apabila mahu digunakan.

Boleh juga baca: 10 Tip Selamat Simpan Susu Perahan Dengan Betul Dan Selamat dan Panduan Lengkap Cara Simpan Susu Ibu Untuk Bayi

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda