MEMBERIKAN ganjaran atau reward kepada anak selepas dia melakukan perkara baik mampu memberikan kesan positif kepada perkembangan mental peribadi.

Namun, apabila disebut ganjaran, ramai pula kalangan kita yang sudah terbayangkan tentang barang mainan, puji-pujian dan belanja makan sedap. Sebenarnya, ada banyak cara lain yang boleh kita berikan kepada anak.

1. KASIH SAYANG SEBAGAI GANJARAN

Ya, kasih sayang pun boleh dijadikan ganjaran kepada anak untuk menunjukkan kita setuju dengan perbuatannya. Antaranya pelukan, ciuman, tepuk belakang dan senyuman lebar. Cara ini akan buatkan anak kita faham yang kita menghargai apa dilakukannya.

2. MASA BERKUALITI DENGAN ANAK 

Ganjaran boleh diberikan dalam bentuk meluangkan masa berkualiti dengan anak, selain waktu biasa yang diluangkan bersamanya. Buatlah sebarang aktiviti seperti memancing, menonton wayang atau teater, menyaksikan perlawanan bola sepak atau pergi arked permainan video. Apa yang penting, hasilnya boleh berikan kesan positif dalam hubungan kita dengan anak.

3. BAWA ANAK KELUAR UNTUK AKTIVITI ISTIMEWA

Jika anak masih kecil, bawalah dia pergi taman permainan indoor kegemaran atau menonton wayang kartun terbaharu. Jika sudah remaja, mungkin kita boleh beri peluang mereka keluar bersama kawan. Mungkin juga boleh hadiahkan dia tiket bola atau konsert.

4. BERI PELUANG ANAK PILIH HIDANGAN MAKANAN

Jika bawa anak keluar makan, beri anak pilih restoran dan makanan yang dia mahu makan. Jika di rumah buatkan makanan kesukaannya. Beri peluang dia buat keputusan, dan ini baik dalam membentuk perkembangan mentalnya.

5. BERI HADIAH BARANG BERGUNA

Tidak salah beri hadiah berupa mainan kepada anak kita sebagai ganjaran. Tetapi lebih elok jika kita berikan dia barangan berguna dan boleh digunakan di sekolah atau di rumah seperti pen, pensil dan krayon. Jika anak ada hobi mengumpul barang seperti kereta HotWheels atau setem, boleh belikan barangan itu sebagai tanda menyokong hobinya.

6. BERI ANAK WANG SAKU 

Cara ini sesuai diberikan kepada anak yang sudah berusia 5 tahun ke atas. Dengan berikan anak kita sedikit wang, kita secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada dia tentang pengurusan kewangan. Anak juga akan mula menyimpan duit untuk membeli sesuatu yang diinginkan tanpa perlu meminta kepada kita.

7.  PUJIAN SECARA LISAN

Selain meluahkan kata pujia seperti “Good Boy” atau “Good Girl“, boleh gunakan ayat seperti “Ibu bangga dengan Aiman sebab bantu kawan di sekolah pagi tadi”. Cara ini membolehkan anak tahu yang kita sentiasa ambil tahu tentang perkara dilakukannya.

SUMBER: ParentingHealthyBabies.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda