MENDIDIK anak-anak hari ini kadangkala memerlukan kita memarahi anak sebagai salah satu cara teguran supaya dia faham kesilapan yang dilakukan.

Bagaimanapun, ramai ibu bapa hari ini risau untuk memarahi anak kerana rasa serba salah bahawa anak tidak akan menyayangi mereka, atau bimbang anak jadi memberontak.

Sebenarnya ada cara betul memarahi anak supaya dia makin hormat dan sayang kepada kita sebagai ibu bapanya.

1. MARAH ANAK PADA KESALAHAN YANG DIBUAT BUKAN DIRINYA

Marahlah perbuatan yang salah itu bukan diri anak kita. Jangan kata perkataan seperti; “Kamu ni memang jahat!” kerana ini ialah tuduhan dan memberikan label negatif terhadap anak. Katalah perkataan seperti ini, “Janganlah berperangai tidak baik macam tu. Sayang anak yang baik”.

2. MARAH DI TEMPAT TERTENTU SAJA

Guna senjata marah ini pada tempat  tertentu saja. Jangan asyik marah. Senjata itu sudah jadi tidak kuat kesannya.

3. PASTIKAN ANAK TAHU KESALAHANNYA

Sebelum marah akan sesuatu perbuatan, pastikan dia sudah jelas perbuatan itu salah. Sudah diterangkan berkali-kali. Anak-anak di bawah 4 tahun akan mengambil masa lebih lama untuk faham, sebab perkembangan otak belum maksimum.

4. GUNA TEKNIK SANDWIC

Bila marah gunalah metod sandwic, iaitu mulakan dengan menghargai sesuatu kebaikan yang dilakukan. Kemudian barulah bawa kepada perkara yang hendak ditegur. Akhirkan dengan kata-kata harapan dan positif.

Contoh:

Mama happy sangat tengok abang dah semakin rajin solat. Bagus tu. Mama tengok abang susah sikit bangun subuh. Ini kurang bagus. Rugi kalau kita miss mana-mana waktu solat. Apa kata abang tidur awal supaya tak ngantuk bagun solat subuh. Mama yakin abang boleh disiplinkan diri, kerana hari tu bila abang set nak disiplin basuh pinggan lepas makan, abang dah tak miss dah. Anak mama ni memang kuat semangat.”

5. BERI RUANG

Beri ruang untuk anak memproses apa yang ditegur. Selepas anak tenang, nyatakan kasih kita kepadanya dan keyakinan bahawa dia boleh membetulkan kesilapannya. Suarakan kasih kita.

6. ELAK KATA-KATA INI

Elaklah berkata begini, ”Mak marah ni sebab mak sayang…’ ketika sedang memarahi anak. Ini langsung tidak berkesan untuk anak-anak zaman sekarang.

SUMBER: IbuRose

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda