SELEPAS 6 jam bersalin secara pembedahan atau caesarean, kita akan diminta bangun sendiri daripada katil untuk melancarkan peredaran darah.

Bagi ibu yang kali pertama dibedah, memang rasa ngilu dan mengerikan kerana sakit pada bahagian luka pembedahan. Tetapi kalau betul cara dan kaedahnya, kita sedikit sebanyak dapat mengurangkan kesakitan itu.

LANGKAH 1

Apabila mula-mula bangun, kita mengiringkan badan ke posisi kiri atau kanan (mengikut keselesaan kita).

LANGKAH 2

Apabila selesa dengan posisi itu, tolak badan dengan menggunakan lengan untuk duduk. Untuk elakkan sakit pada luka pembedahan, kita letakkan bantal atau juga tuala yang di gulung pada belakang bagi menyokong perut.

Nota kaki:

Bagi memudahkan kita berdiri, boleh menggunakan abdominal binder bagi menyokong perut. Ada banyak dijual di pasaran, saya dulu beli menerusi hospital. 

LANGKAH 3

Sekarang, sedia untuk jatuhkan kaki ke bawah dari katil dengan mengunakan kekuatan tangan secara perlahan-lahan.

LANGKAH 4

Rehat seketika, setiap pergerakan memerlukan tenaga yang banyak kan? Selepas kita sudah sedia, cuba bangun sehingga kita dalam posisi duduk.

Nota kaki:

Jangan gantung kaki. Kalau boleh biarkan kaki mencapai lantai. 

LANGKAH 5

Kita cuba stabilkan badan dahulu. Tunggu sehingga beberapa minit (mengikut kemampuan diri), biasa antara 2 hingga 3 minit. Pastikan kita tidak pening kerana baring pada waktu yang lama atau mungkin alahan ubat boleh menyebabkan pening.

LANGKAH 6

Jalan dalam keadaan badan tegak. Serius memang sakit tetapi lakukan dengan perlahan-lahan sambil menyokong perut.

Selamat mencuba tetapi pastikan ketika berdiri ada teman untuk membantu kita, ya. Semoga bermanfaat untuk semua.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda