ARTIKEL di bawah ini ialah maklum balas daripada insiden kanak-kanak 6 bulan patah tulang paha di rumah pengasuhnya yang tular baru-baru ini. Walaupun ibu bapa perlu bertawakal dan berprasangka baik apabila menghantar anak ke rumah pengasuh atau taska, tetapi jangan pula sampai terlepas pandang dan buat tidak peduli tentang perkara penting.

Bukan bermakna kita menuduh di pengasuh, tetapi semua ibu bapa wajib tahu tanda-tanda perubahan pada fizikal anak. Berikut 6 tanda yang menunjukkan kemungkinan anak anda didera.

1. ANAK TIBA-TIBA BERUBAH PERANGAI

Anak yang dulunya ceria tiba-tiba jadi sangat pasif dan pendiam. Anak jadi mudah terkejut dan selalu meragam tanpa sebab jelas.

2. ANAK TIBA-TIBA JADI SANGAT PATUH ATAU SANGAT MEMBERONTAK

Anak yang ketakutan memang akan mendengar arahan ataupun dia memberontak dan mengamuk kerana cuba mempertahankan diri.

3. ANAK KELIHATAN SANGAT TAKUT KEPADA PENGASUH

Anak tidak mahu pergi taska atau tadika, itu biasa. Tetapi kalau riak wajahnya dalam ketakutan melampau, kita memang kena berhati-hati. Atau anak kelihatan sangat trauma apabila kita sebut saja perkataan taska dan tadika, atau dia nampak benda yang berkaitan pengasuhnya.

Menangis apabila hendak hantar anak ke taska akibat Separation Anxiety itu normal saja, tetapi naluri ibu bapa boleh tahu yang manakah normal, dan manakah tidak normal?

4. ADA LEBAM DAN LUKA ATAU KECEDERAAN YANG LUAR KEBIASAAN

Walaupun lebam atau calar biasa, mak ayah kena hati-hati, apatah lagi kalau lebam ada di 2 atau 3 tempat berbeza. Kalau ada patah lagi kena hati-hati. Hantar terus ke hospital.

Doktor biasanya akan suspek penderaan apabila ada patah tulang besar seperti tulang femur, patah di banyak tempat (multiple fractures), Shaken Baby Sydrome ataupun ada kesan patah lama yang tidak dilaporkan.

5. PERKEMBANGAN ANAK TERGANGGU

Anak yang dulu pernah hisap jari, kembali menghisap jarinya. Anak yang sudah lama tidak kencing malam, kembali kencing malam. Anak mengalami masalah duduk dan berjalan.

6. ANAK SERING MIMPI BURUK

Kadang-kadang agak susah hendak tahu anak kita bermimpi buruk ke tidak. Perhatikan sama ada anak kita nampak lesu atau tidak bermaya walaupun sudah tidur. Itu antara tanda tidur anak terganggu dan ramai ibu bapa tidak tahu. Jadi, tolong beritahu ibu bapa dan pasangan yang belum tahu demi keselamatan anak kita semua.

SUMBER: TaufiqRazif

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda