MENGURUSKAN hal rumah tangga dan anak memerlukan kita menggunakan banyak tenaga untuk bergerak pantas. Jika tidak bersenam, memang mudah kita rasa penat dan letih.

Kita pula berdepan kekangan masa hingga terpaksa mengabaikan waktu senaman. Sudahnya, minuman tenaga jadi habuan perut supaya dapat kekal bertenaga dalam memikul tanggungjawab seharian.

Sebenarnya, mana-mana pun boleh bersenam, tidak mesti pergi gim pun. Mari cuba senaman ini, hanya ikut 6 langkah mudah. Senaman ini boleh dilakukan di sebarang tempat seperti ruang tamu atau dapur. Senaman ini juga selamat diamalkan ketika hamil. Bagaimanapun, sila minta nasihat pakar terlebih dulu.

MASA: 20 hingga 25 minit
KEKERAPAN: 3-5 kali seminggu

LANGKAH 1

Dalam posisi mencangkung, rehat sebentar dan berdiri semula dengan membuat bisep curl. Ulang 15 kali.

LANGKAH 2

Rapatkan kaki dan mulakan langkah kaki kanan keluar ke arah mencangkung, pastikan kaki kiri membengkok. Buat ulangan langkah sama 10 kali – kaki kanan dan 10 kali – kaki kiri.

LANGKAH 3

Letakkan tangan atas meja dapur, pastikan tangan di bawah ketinggian bahu sebelum mengangkat kaki dan rendahkan dada. Boleh buat langkah ini 6-10 kali.

LANGKAH 4

Berdiri membongkok dengan kedua-dua kaki dan bahu dalam posisi sama. Buat langkah ini 15-20 kali. 

LANGKAH 5

Lakukan langkah sama seperti langkah 2 tadi, tetapi dalam kedudukan separuh berdiri. Mulakan kaki kanan, diikuti kaki kiri. Ulang langkah hingga 15 kali untuk kedua-dua kaki.

LANGKAH 6

Bengkokkan kaki kanan di lantai dan luruskan tangan kiri. Pada masa sama, kaki kiri diluruskan dan tangan kanan menahan lantai. Lakukan berulang kali bermula kaki kanan. Ulang 2-3 kali.


Nampak mudah bukan? Apa kata cuba buat sekejap hari ini. Curi masa dalam 20 minit di dapur untuk bersenam ringkas.

SUMBER: Parents.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda