“ANAK saya dulu 10 bulan dah pandai jalan, kenapa anak kamu dah setahun lebih masih tak pandai jalan eh?”

Pernah atau tidak berdepan dengan perangai mak macam itu? Menyakitkan hati bukan? Perkembangan setiap anak berbeza, kenapa perlu dibandingkan? Biarlah anak itu berjalan, bercakap atau apa saja ikut perkembangan sendiri.

Dunia ‘mak-mak’ memang banyak cabaran. Kalau jumpa mak berfikiran positif, bersyukurlah. Dapatlah kita merasa sokongan dan galakan. Kalau jumpa mak yang asyik mahu kondem saja, bersabarlah. Layankan saja bak kata pepatah, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

1. SUKA BANDING ANAK

Kita zaman sekarang suka sangat bandingkan perkembangan anak sendiri dengan anak orang lain. Tidak boleh tengok anak orang lebih daripada anak dia. Ada saja yang mahu dikatakannya. Kalau anak tahu berjalan seawal usia 10 bulan, dipertikaikan pula kenapa anak dia tidak boleh berjalan lagi. Sampai kita pula mati akal mahu menjawabnya.

2. KUAT DENGKI

Mak jenis ini asyik dengki saja, apa saja aktiviti kita bersama anak, semua salah di mata. Kita bawa anak bercuti – salah, bawa makan restoran si polan – salah, bawa main taman – salah. Silap-silap anak kita pakai baju apa pun dia sibuk hendak tahu! Bukan setakat itu saja, digosipkan pula anak kita dengan orang lain.

3. KAKI SHOW OFF

Anak dia dapat keputusan terbaik di sekolah, sibuk dihebohkan satu negara. Kemudian, dibandingkan anak kita dengan anaknya. Macam anak dia saja yang bijak, dan anak orang lain tidak. Apabila anak dia buat masalah di sekolah, tidak pula dihebohkannya!

4. MRS PERFECT 

Mak jenis ini pula suka sangat tegur anak orang. Apabila nampak salah anak kita, mulalah beri tazkirah percuma. Siap kemukakan fakta yang disokong segala macam kajian. Bagus sebenarnya. Tetapi masalahnya sekarang, dikaitkan masalah itu dengan didikan yang diberikannya kepada anak sendiri. Dia sajalah betul. Mak jenis ini ada juga baiknya, cuma jangan sampai kita menyampah sudahlah.

5. KAKI MENGATA

Apabila anak si polan demam, bukan main rancak mengata.

“Anak dia tu setiap minggu demamkan…”

Kemudian boleh pula salahkan si ibu tidak pandai jaga anak. Kita ini sudahlah cuba bermacam-macam cara untuk ubatkan anak sakit, dia pula pandai mengata saja. Ibu mana yang tidak sakit hati, ibu manalah yang hendak anak sakit selalukan? Entah kenapalah dia suka sangat mengata, anak dia tidak pandai sakit ke?

6. TAK BOLEH TERIMA TEGURAN

“Aku dah ada anak 10, kau baru seorang. Jangan pandai-pandai nak nasihat aku. Kau tau apa? Aku makan garam lebih daripada kau!”

Pernah mengadap mak jenis ini? Mesti kita terdiamkan? Jalan mudah, kita senyap dan jangan bagi nasihat lagi, walaupun dia minta pendapat kita!

Jadi, kita ini termasuk dalam golong mak jenis mana?

Lebih baik cermin diri sendiri, dan pasang azam untuk jadi ibu yang terbaik untuk anak sendiri, bukan terbaik untuk anak orang!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda