JIKA anda tidak mengalami kitaran haid teratur sejak remaja dan tidak hamil selepas berkahwin, mungkin anda mengalami masalah rahim yang tidak normal.

Oleh itu, adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan yang sepatutnya untuk mengatasi masalah itu.

Apa itu rahim tidak normal? Berikut adalah jenis-jenis rahim tidak normal yang dikongsikan oleh Dr Muhammad Izzat Abdul Razak untuk pengetahuan semua wanita.

BACA>>> Rahim Sihat Bermula Dari Kanak-Kanak. Dr Hamid Kongsi 11 Tip Penjagaan Rahim


RAHIM BERTANDUK?

Rahim yang normal adalah rahim berbentuk pear, terletak dalam ruang pelvis. Berukuran dalam 7.5 cm panjang, 5 cm lebar dan 2.5 cm tebal. Dalam rahim itu, ada ruang kosong tempat bayi duduk dan membesar. Sekitar ruang kosong itu ada otot-otot yang boleh kembang dan kuncup.

Sepertiga bahagian bawah rahim ini akan jadi cervix (pangkal rahim) yang duduknya pada hujung vagina. Bahagian atas rahim dipanggil Fundus. Di sebelah rahim ini ada 2 tiub kecil kiri dan kanan, dinamakan sebagai Tiub Fallopio. Pada hujung tiub fallopian kedua-dia belah ada macam jari jemari yang menangkap telur yang keluar dari ovari.

Pada depan rahim ada pundi kencing. Posisi rahim yang berehat atas pundi kencing ini doktor namakan sebagai ANTEVERTED UTERUS. Ada sesetengah orang perempuan, rahimnye berehat jauh dari pundi kencing, dia tidak berada atas pundi kencing. Ini bukannya tidak normal, kedudukan rahim saja yang lain. Bentuknya sama saja macam orang lain.

1 dalam 6 wanita ada rahim terbalik – RETROVERTED UTERUS. Kalau doktor cakap anda ada rahim terbalik, jangan lah tidak tidur malam memikirkannya seolah-olah dunia anda sudah berakhir. Tahap kesuburan anda tidak kacau pun dan peluang untuk mengandung macam biasa.

Benih suami atau sperma ini ada ekor. Sperma boleh berenang-renang macam atlet masuk ke dalam ruang rahim, kalau tidak ada masalah dengan tiub fallopio, biarpun rahim berkedudukan terbalik sekalipun.

Sudah tahu kan rahim yang normal macam mana? Sekarang nak cerita  tentang rahim TAK NORMAL pula.

Segelintir wanita dilahirkan dengan keadaan rahimnya lain sedikit dari biasa. Kadang-kadang tidak tahu pun sampailah berjumpa dengan doktor sebab tidak mengandung setelah kawin sudah lama.

Dalam wanita yang jumpa doktor sebab tidak mengandung itu, 1 dalam 13 orang ada masalah rahim tidak normal ini. Satu lagi, ada wanita yg keguguran bila bayi suda besar – mungkin ada masalah rahim tidak normal 1 dalam 3 wanita.

Sungguhpun ada masalah rahim tidak normal ini, ada saja orang yang mengandung tanpa ada masalah. Elok saja beranak 3-4 orang, pada hal ada rahim tidak normal.

Saya bahagikan masalah rahim tidak normal ini kepada beberapa kategori:

1. AGENESIS (RAHIM TIDAK TERBENTUK)

Sangat jarang dijumpai. Kadar antara 1 dalam 4,000 wanita hingga 1 dalam 10,000 wanita. Fuh. Memang rare! Ia terjadi bila rahim tidak terbentuk pun atau ada rahim tapi rahimnya pendek dan kecil. Biasanya orang yang ada masalah ini, period tidak datang-datang walaupun sudah lepas umur akil baligh.

Bila masanya tiba, melakukan hubungan seks akan jadi sangat tidak selesa. Keadaan ini boleh dirawat dengan pembedahan dan kaunseling. Rasanya anda tahu kan, kenapa tidak boleh mengandung – sebab memang tidak ada rahim.

2. UTERUS DIDELPHYS

Keadaan ini terjadi apabila rahim ada 2 ruang. Setiap ruang ini hujungnya ada 2 cervix (pangkal rahim). Ada yg mempunyai 2 vagina. Sangat jarang juga, 1 dalam 350 wanita. Mungkin boleh mengandung macam biasa, tanpa masalah.

3. UNICORNUATE UTERUS (RAHIM ADA 1 TANDUK)

 

Rahim jenis ini saiznya setengah dari saiz rahim yang normal. Tapi mereka ada 1 saja tiub fallopio sebab bentuknya macam tanduk, maka digelar rahim bertanduk 1. Sangat jarang juga – 1 dalam 1000 wanita.

Ianya terjadi sebab pada peringkat awal pembentukkan rahim, sel-sel tisu yang terlibat dalam pembentukan rahim tidak berkembang dengan sempurna. Kalau anda ada unicornuate uterus, anda mungkin ada 2 ovari. Salah satu ovari ini akan berhubung dengan rahim. Asalkan ada ruang, tiub fallopio yang normal, peluang untuk mengandung itu ada. Bagaimanapun peluang untuk keguguran pun tinggi.

4. BICORNUATE UTERUS (RAHIM ADA 2 TANDAUK DAN BERBENTUK LOVE)

Dari berbentuk pear, rahim jenis ini berbentuk love. Dipanggil rahim ada 2 tanduk sebab bentuknya macam ada 2 tanduk. Kekerapan dijumpai – 1 dalam 200. rahim jenis ini tidak menganggu peluang untuk mengandung, tapi risiko untuk keguguran tinggi.

5. SEPTATE UTERUS

Ada pembahagian pada tengah-tengah rahim itu dipanggil septum. 1 dalam 45 wanita ada rahim jenis ini. Susah untuk mengandung kalau ada rahim jenis ini dan risiko untuk keguguran pun tinggi.

6. ARCUATE UTERUS

Rahim jenis ini nampak macam rahim yang normal, cuma pada bahagian atas ada sedikit ke dalam. Yang ini jenis biasa dijumpai, 1 dalam 25 wanita. Biasanya tidak ada masalah untuk mengandung.

Ada pelbagai penyiasatan yang doktor lakukan bergantung kepada penilaian doktor ketika itu

  • MRI
  • HSG – sejenis air dimasukkan ke dalam rahim, lepas tu x-ray pada bahagian rahim akan dibuat
  • Laparoscopy – pembedahan melibatkan kemasukan kamera pada potongan kecil pada pusat. Kamera ni digunakan untuk lihat dengan lebih jelas apa yang berlaku pada ruang pelvis

BUKAN SEMUA jenis rahim tidak normal perlukan rawatan. Ada yang boleh dirawat, ada yang tidak. Contoh kalau rahim ada ruang pemisah pada bahagian tengah itu, boleh lah doktor membuang bahagian pemisah itu menggunakan hysteroscope – sejenis alat kamera yang masuk ke dalam rahim melalui vagina dan cervix. Jenis rahim tidak normal lain perlukan banyak perbincangan dengan doktor.

BACA>>> Makanan Tidak Berkhasiat Punca Wanita Muda Hidap Masalah Rahim Rosak

Saya tidak pernah belajar dan tidak pernah tahu pasal rahim batu, rahim besi, rahim papan atau rahim kain perca. Yang saya cerita atas ini doktor-doktor akan cerita pada anda sebab memang kami jumpa dan kami rawat, rata-rata yang jumpa sebab tidak mengandung ataupun period tidak pernah datang walaupun sudah akil baligh.

Kalau pening-pening, di bawah ni ada gambar-gambar saya ringkaskan untuk lebih senang nak faham.

Satu lagi mohon ampun Encik Rahim kalau anda asyik tersedak-sedap sebab entah berapa kali nama anda disebut-sibut di sini. “Maaaafinnn Nabilaaaa yaAwloh” – baca dengan penuh gaya Sinetron ya!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda