TAHNIAH buat yang sudah menerima berita kehamilan anda! Anda kini sedang mencari hospital terbaik untuk lakukan pemeriksaan bulanan dan sekaligus mendaftar untuk bersalin?

Sekiranya anda masih lagi mencari hospital yang sesuai, di sini kami senaraikan 6 hospital kerajaan terbaik yang ada di Malaysia untuk ibu hamil.

KRITERIA HOSPITAL KERAJAAN TERBAIK

Sebelum menyemak senarai hospital kerajaan terbaik untuk ibu-ibu yang hamil, apakah sebenarnya kriteria yang menyebabkan hospital itu dianggap sebagai hospital kerajaan yang terbaik?

Pertama sekali, tenaga doktor-doktor pakar yang terlatih dan berpengalaman. Kriteria lain yang patut dipertimbangkan oleh para ibu mengandung sewaktu memilih hospital bagi pemeriksaan kehamilan atau bersalin adalah:

  • Lokasi hospital dengan tempat tinggal mereka
  • Peralatan pemeriksaan dan bersalin yang lengkap
  • Jururawat yang profesional, terlatih dan mesra
  • Kebersihan wad dan tandas
  • Sama ada suami dibenarkan masuk ke dalam bilik bersalin atau tidak

BACA>>>> Pening Kepala Pilih Hospital Bersalin? Ikut 10 Tip Penting Ini

SENARAI HOSPITAL KERAJAAN TERBAIK UNTUK IBU HAMIL

1. HOSPITAL KUALA LUMPUR (HKL)

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Hospital Kuala Lumpur merupakan antara hospital kerajaan yang terbaik di Malaysia.

Sebabnya? Hospital bersalin HKL merupakan hospital utama yang menjadi rujukan hospital-hospital lain bagi kes bersalin berkomplikasi.

Ia mempunyai ramai pakar O&G dan turut melahirkan pakar-pakar O&G bagi hospital lain. Jadi, dari segi kepakaran doktor, hospital ini sememangnya yang terbaik!

Jika anda mempunyai beberapa masalah kesihatan semasa mengandung, mungkin ini adalah satu tempat bersalin yang patut anda pertimbangkan!

Apa yang menarik perhatian adalah doktor-doktor di sini menyatakan bahawa mereka tidak akan sesekali menolak pesakit – semuanya akan cuba diterima dan dilayan dengan baik.

2. HOSPITAL SELAYANG, SELANGOR

Ramai para ibu yang telah bersalin di hospital ini dan rata-rata berpuas hati dengan layanan dan kepakaran doktor di sini.

Menariknya tentang Hospital Selayang adalah ia turut menyediakan program Full-Paying Patient (FPP).

Dengan skim ini, pesakit diberikan kemudahan untuk memilih doktor pakar yang mereka inginkan dan menikmati kemudahan kelas pertama.

Lagi satu yang membuatkan hospital ini mesra ibu hamil adalah para suami turut dibenarkan masuk ke dalam bilik bersalin untuk menemani isteri mereka.

3. HOSPITAL TUANKU JA’AFAR, NEGERI SEMBILAN

Walaupun sebelum ini hanya ada dua hospital sahaja yang berstatus FPP, kini terdapat beberapa hospital kerajaan di seluruh Malaysia yang menyediakan skim ini, antaranya Hospital Tuanku Ja’afar di Negeri Sembilan.

Bagi tinggal di Seremban dan mencari hospital untuk pemeriksaan dan hari bersalin anda, apa kata anda pertimbangkan Hospital Tuanku Ja’afar?

Rata-rata mereka yang telah bersalin disini memuji keselesaan wad dan bilik bersalinnya – serba baru katanya! Layanannya pun baik-baik belaka.

4. HOSPITAL SULTANAH AMINAH, JOHOR

Antara sebab utama yang menyebabkan Hospital Sultanah Aminah menjadi hospital kerajaan terbaik untuk ibu hamil adalah kepakaran doktornya serta keselesaan bilik bersalin.

Memang ramai doktor pakar yang sedia untuk berkhidmat di hospital ini. Malah, kalau anda hendak tahu, setiap pesakit akan mendapat satu bilik bersalin.

Setiap biliknya juga turut dilengkapi dengan penyaman udara. Memang selesalah kiranya untuk bakal-bakal ibu.

5. HOSPITAL RAJA PERMAISURI BAINUN, PERAK

Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak juga merupakan antara hospital kerajaan yang terbaik buat mereka yang tinggal di sekitar kawasan Ipoh.

Hospital ini mengamalkan konsep “Husband Friendly” di mana para suami dibenarkan untuk menemani isteri ketika melahirkan anak.

Sebagai hospital utama di Perak, sudah tentu ia juga mempunyai ramai pakar. Malah, ia turut menempatkan pakar fertiliti dan IVF.

Bermula 2017 juga, anda turut boleh menyertai skim FPP di hospital ini jika terasa ingin memilih doktor sendiri!

6. PUSAT PERUBATAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

Ia merupakan lagi satu hospital mesra suami yang membenarkan mereka masuk ke dewan bersalin ketika proses kelahiran.

Hospital ini merupakan hospital kerajaan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Maka, tidak mustahillah jika di sini terdapat ramai doktor pakar yang mampu memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada anda!

Bagaimanapun, jika anda ingin menggunakan khidmat bersalin di sini, anda memerlukan surat rujukan terlebih dahulu.

BACA>>>> Amalkan 20 Tip Ini Jika Mahu Bayi dalam Kandungan Sihat.

ADA TIDAK HOSPITAL LAIN YANG BAGUS UNTUK IBU HAMIL?

Selain daripada senarai hospital utama di atas, kami juga ada menyediakan senarai hospital lain yang kami rasa masih lagi terbaik untuk ibu hamil di luar sana. Antaranya ialah:

HOSPITAL SERDANG, SELANGOR

Ramai doktor terlatih, kemudahan perubatan yang lengkap, suami boleh masuk ke dewan bersalin.

HOSPITAL PUTRAJAYA, WILAYAH PERSEKUTUAN

Skim FPP, kemudahan lengkap, wad yang selesa, suami boleh masuk ke dewan bersalin.

HOSPITAL TENGKU AMPUAN RAHIMAH, KLANG

Skim FPP dan layanan mesra.

HOSPITAL SULTANAH BAHIYAH, KEDAH

Doktor pakar, wad luas dan selesa, layanan doktor dan jururawat yang mesra.

HOSPITAL RAJA PERMAISURI PEREMPUAN ZAINAB II, KOTA BHARU

Skim FPP, mesra suami (boleh menemani isteri ketika bersalin).

HOSPITAL SULTANAH NUR ZAHIRAH, TERENGGANU

Kemudahan doktor pakar, boleh memilih doktor, peralatan bersalin yang canggih, Skim FPP, suami dibenarkan masuk ke bilik bersalin.

Kemudahan doktor pakar berserta kelengkapan perubatan lengkap dan canggih yang ada di hospital di atas ini sudah cukup memberikan keyakinan tentang kualiti perubatan di sini.

Dari segi layanan pula, sudah tentu, pengalaman kita semuanya berbeza. Tidak ada benda yang sempurna. Yang penting adalah usaha untuk memperbaiki kualiti layanan pada masa hadapan.

BACA>>>> Boleh Cuba 4 Tip Ini untuk Cepatkan Bukaan Rahim Supaya Mudah Bersalin.

SUMBER: TheAsianParent

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda