ANAK kerap demam dan selesema? Mesti selalu pening kepala dan risaukan? Kenapa mudah sangat dia jatuh sakit? Lagi bertambah risau, hampir setiap bulan dia sakit dan tidak mahu makan.

Sistem imun bayi dan kanak-kanak belum sempurna dan kuat seperti orang dewasa. Tambahan lagi anak juga belum tahu tentang kepentingan menjaga kebersihan diri. Akibatnya, dia mudah terdedah kepada penyakit kerana sistem imun masih belum kuat melawan vibakteria.

Menurut pakar kanak-kanak dari University of Maryland, Dr Charles Shubin, sistem imun kanak-kanak biasanya akan bertindak melawan sendiri bakteria dan virus hingga tubuhnya menjadi kebal daripada serangan sesuatu penyakit.

Tahukah, kita sebenarnya boleh membantu anak melawan bakteria dengan meningkatkan sistem imun dalam diri seperti 6 cara berikut.

1. BERI MAKANAN KHASIAT TINGGI

  • BAYI BARU LAHIR

Bayi yang baru lahir, susu ibu ialah sumber utama antibodi yang meningkatkan sistem imun badan. Ibu mesti berikan susu badan kepada bayi sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan pertama dan kemudian barulah mula fikirkan tentang susu formula. Susu badan bukan saja membantu meningkatkan kekuatan otak tetapi dapat mencegah penyakit kronik.

  • KANAK-KANAK

Apabila usia anak semakin meningkat, beri makan sayur dan buah-buahan. Beberapa jenis sayur dan buah mengandungi fitonutrien yang dapat meningkatkan sistem imun.

Kandungan khasiat dalam buah dan sayur membantu penghasilan sel darah putih dan interferon untuk melawan bakteria dan virus. Antara makanan yang baik untuk anak ialah kekacang, brokoli, strawberi, yogurt, salad dan sumber protein.

2. PANTAU WAKTU TIDUR

Kita yang dewasa kalau tidak dapat tidur cukup pun badan akan mudah sakit kerana tubuh gagal melawan virus dan bakteria. Ini juga menimpa anak. Pastikan dia dapat tidur yang cukup. Tempoh tidur bayi yang diperlukan ialah 18 jam, manakala kanak-kanak sekitar 10 jam sehari. Kalau anak tidak tidur siang, cuba tidurkan mereka lebih awal pada waktu malam.

3. JAGA KEBERSIHAN DIRI DAN SEKELILING

Selalu jaga kebersihan badan anak dan juga sekeliling kawasan tidur, tempat bermain dan meja makan. Si kecil memang suka masukkan tangan ke dalam mulut. Jadikan rutin membersihkan tangan seperti lap tangan anak dengan tisu basah atau cuci dengan sabun.

Pastikan juga barang mainan anak sentiasa bersih. Sekiranya anak terjatuh dan luka, cuci luka dengan air dan antiseptik secepat mungkin.

4. AMALKAN GAYA HIDUP AKTIF

Bersukan dapat meningkatkan sistem imun jika kerap dilakukan. Ajak anak bermain bola atau apa saja aktiviti yang boleh mengeluarkan peluh. Bukan saja kesihatan anak, tetapi tubuh kita juga akan lebih sihat.

5. JAUHI ASAP ROKOK DAN KENDERAAN

Asap rokok dan asap kenderaan boleh memberi kesan kepada organ pernafasan anak. Berbanding orang dewasa, si kecil lebih mudah terkena penyakit akibat asap rokok seperti bronkitis atau asma.

Sekiranya anda atau pasangan merokok, sila merokok di luar rumah. Jangan biarkan anak menghidu asap rokok. Silap haribulan anak boleh terkena kanser paru-paru akibat kesalahan kita sendiri.

Gunakan topeng muka jika bawa anak keluar di kawasan sibuk dan padat dengan orang ramai. Ini untuk mengelakkan anak menyedut udara tidak bersih yang dipenuhi habuk, asap kenderaan dan sebagainya.

6. JADIKAN RUTIN JUMPA DOKTOR

Amalan berjumpa doktor sepatutnya bukan hanya ketika anak sakit. Periksa kesihatan anak secara berkala untuk mengesan kemungkinan kesihatan dia terjejas. Ketika anak sakit, jangan asyik berikan antibiotik dan buat pemeriksaan CT Scan atau Rontgen.

Kalau kerap sangat makan antibiotik, badan anak nanti jadi lali dan lama-kelamaan antibiotik tidak lagi berkesan kepada tubuhnya.

SUMBER: Parents.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda