ANAK malas belajar dan tidak mahu siapkan kerja sekolah memang memeningkan kepala. Tetapi, suka atau tidak kita perlu juga buat sesuatu supaya mereka kekal termotivasi dan rajin.

Ada pelbagai cara memotivasikan anak kita supaya rajin belajar dan menyiapkan tugasan diberikan guru di sekolah. Antaranya, lakukan 6 tip mudah di bawah ini:

1. TAWAR HADIAH KALAU SIAPKAN KERJA SEKOLAH

Tanam dalam fikiran anak-anak bahawa mereka perlu selesaikan semua kerja sekolah sebelum boleh buat aktiviti lain yang lebih menyeronokkan. Ibu bapa harus memainkan peranan penting dengan menyimpan atau menyorokkan telefon pintar, permainan video dan gangguan lain.

Misalnya, ibu bapa boleh cakap; “Kalau nak main game atau tengok TV, mesti siapkan kerja sekolah dulu.” 🙂

Apa kata simpan dulu telefon anak. Selepas siap kerja sekolah, berilah kepada mereka semula.

2. SEMAK KERJA ANAK SELEPAS SELESAI

Semak semula selepas mereka selesai kerja. Contohnya, kalau anak lemah Matematik atau penulisan esei, luangkan masa buat semakan dan berikan bantuan sekiranya mereka gagal selesaikan kerja dengan baik.

Kita juga boleh minta anak berikan penjelasan tentang bab yang mereka sudah belajar. Ini dapat membantu anda menilai tahap pemahaman mereka.

Tetapi, jangan pula tunjukkan sikap semacam tidak percaya kebolehan anak-anak kita. Pujilah sikit; “Mama dan abah cuma nak bantu ringankan masalah buat kerja sekolah.”

3. BANTU ANAK BAHAGIKAN TUGAS

Jika anak-anak mengadu pasal kerja sekolah yang banyak sangat, apa kata kita bantu mereka bahagikab tugas ikut keutamaan. Anak-anak cenderung untuk tinggalkan kerja yang mereka rasa tidak mampu atau susah dibuat.

Sekiranya anak ada banyak kerja sekolah atau tugasan yang susah, bantu mereka untuk bahagiakannya supaya jadi lebih mudah diuruskan. Tuliskan langkah yang perlu dibuat dan ikut serta apa yang mereka buat supaya kerja dapat disiapkan dengan sukses.

4. PUJI ANAK WALAUPUN CUMA KEJAYAAN KECIL

Dorongan ibu bapa adalah motivasi paling kuat buat anak. Pujilah secara lisan dan berilah hadiah atau ganjaran lain supaya mereka tahu kita  sebagai ibu bapa sangat bangga dengan usaha dan kejayaan mereka.

Contohnya, anda boleh cakap; “Sebab kamu ni rajin sangat buat homework, jom kita jalan-jalan makan ais krim.” Berilah ganjaran atau hadiah yang sesuai dengan peringkat umur anak. Takkanlah anak Tingkatan 4 nak belanja aiskrim lagi. 😛

5. DAPATKAN BANTUAN TUTOR ATAU GURU

Jika anak masih susah faham tentang apa yang dipelajari dan tidak mampu selesaikan kerja sekolah, mungkin kita sendiri boleh cuba berikan penjelasan supaya mereka lebih faham.

Tetapi jika kita tiada masa atau perlukan bantuan tambahan, bincanglah dengan cikgu kalau anak kita boleh dapatkan bantuan tambahan daripada guru atau tutor.

6. KENAL PASTI PUNCA ANAK TIDAK MAHU BUAT KERJA SEKOLAH

Masalah keluarga, masalah di rumah, buli dan banyak isu lain boleh jadi faktor yang mempengaruhi motivasi anak kita untuk belajar dan buat kerja sekolah. Setiap kanak-kanak dan remaja ada potensi tersendiri. Ibu bapa, guru, dan kaunselor di sekolah perlu bekerjasama untuk menyelesaikan situasi atau masalah yang dilalui anak-anak tersebut.

Kita juga harus selalu mengajak mereka bersembang dan bertanya kalau mereka ada masalah di sekolah atau di mana-mana. Cuba yakinkan mereka yang kita tidak akan biarkan mereka keseorangan. Buatkan mereka rasa selamat.

Bagaimanapun, jika anak mengalami masalah berlarutan seperti tidak boleh fokus, sukar membaca, susah faham, tidak faham arahan dan sebagainya, anda harus berbincang dengan doktor tentang masalah tersebut.

Semoga anak-anak kita terus berjaya! 😀

SUMBER: EmpoweringParents

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda