SETIAP bayi memiliki perkembangan yang tidak sama, termasuk waktu mereka boleh bercakap. Umumnya, anak akan mula belajar bercakap pada usia 3 tahun. Bagaimanapun, ketika si kecil berusia antara 12 hingga 18 bulan, mereka sepatutnya sudah boleh bertutur 1-5 perkataan dengan jelas.

Berikut 6 tip untuk menjadikan bayi kita cepat bercakap:

1. AJAK BERKOMUNIKASI

Sejak lahir, ibu bapa harus mengajak bayi berinteraksi dan berkomunikasi sekerap mungkin.

Bagi komunikasi efektif, ajak bayi berbual ketika dia memegang barang. Kita boleh beritahu nama barang yang dipegang. Mengajak si kecil berkomunikasi dapat membantu dia jadi lebih petah.

2. LATIH BAYI BERCAKAP DENGAN CARA SERONOK

Salah satu cara boleh dilakukan supaya anak cepat bercakap cepat ialah mengajak dia bersembang dengan suasana dan cara menyeronokkan.

Contohnya, ibu dan bapa boleh menyanyi atau membaca buku cerita kepada anak. Ini akan membuatkan si kecil terhibur dan dapat merangsang kemampuan bercakap.

Ya, mungkin pelik kerana dia belum lagi dapat faham apa yang kita ceritakan. Tetapi ketika anak sudah boleh bercakap, ayat-ayat itulah yang dicakapkan. Ibu bapa harus berhati-hati dengan perkataan yang dituturkan!

3. AJAK SI KECIL BERMAIN

Bermain ialah cara mudah mengajak bayi berinteraksi kerana dapat merangsang otak si kecil jadi lebih aktif.

Sebagai contoh, ajak anak bermain kad imbas atau ‘flash card’ yang ada gambar dan perkataan. Ini dapat membantu dia mengingati perkataan dan rupa atau bentuk sesuatu objek yang ditunjukkan, sekali gus menambah kosa kata.

4. FAHAMI CELOTEH SI KECIL DAN CUBA PERBAIKI

Apabila si kecil mula memberikan respons dan mengeluarkan suara seperti membebel, kita harus cuba memahami bahasa percakapan bayi.

Contohnya, kita boleh tanyakan maksud percakapan dia sambil tersenyum atau ketawa. Tunjukkan wajah gembira dan senyum, kemudian perhatikan reaksi si kecil.

Jangan sesekali tunjukkan reaksi faham sedangkan kita sendiri tidak faham celoteh dia. Contohnya, bayi memegang botol susu dan mengeluarkan suara ‘ommm’. Ketika ini, kita mesti melihat ke dalam mata bayi dan bertanya; “Nak minum susu?”; “Sayang lapar?”; “Ini botol susu”.

Minta dia perhatikan pergerakan bibir dan meniru percakapan kita secara perlahan. Apabila si kecil meniru suara kita, ulangi perkataan atau ayat tersebut.

5. BERIKAN PUJIAN KEPADA SI KECIL

Jika si kecil berjaya mengucapkan sesuatu perkataan ataupun bunyi yang mudah, seperti “mama, papa, susu”, jangan lupa memuji. Pujilah dengan kata-kata manis sambil bertepuk tangan seperti; “pandai, bagus, bijak” dan sebagainya.

Pujian yang diberikan dapat buatkan anak rasa dihargai dan merangsangnya untuk belajar dengan cuba menyebut perkataan lain kerana seronok dipuji.

6. HADKAN MASA TONTON TV DAN MAIN GAJET

Televisyen bukanlah medium terbaik untuk mengajar anak bercakap. Televisyen cuma mengajar si kecil konsep warna, angka, abjad dan huruf.

Asasnya, mengajar anak bercakap adalah menerusi hubungan komunikasi. Televisyen tidak boleh memberikan hubungan komunikasi ataupun interaksi dengan si kecil.

Semua proses di atas harus dilakukan dengan penuh kesabaran dan kasih sayang kerana dapat membantu si kecil supaya lebih cepat bercakap. Lakukan tip di atas sekerap mungkin hingga bayi sudah boleh bercakap. Selamat mencuba!

SUMBER: YTinfo

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda