KETAKUTAN ialah reaksi emosi yang timbul apabila anak rasa terancam. Kanak-kanak juga tidak terlepas daripada rasa takut. Apabila ketakutan, kebiasaannya dia akan rasa cemas, gugup dan gelisah. Awas, emosi itu sebenarnya tidak baik untuk perkembangan anak kita.

Sudahnya, dia akan mahu sentiasa berkepit di bawah ketiak kita setiap masa. Jadi bagaimana hendak ajar anak kita supaya tidak membesar sebagai penakut?

1. TAKUT PADA ORANG TIDAK DIKENALI

Menurut pakar psikologi, anak yang takut pada orang asing adalah perkara normal. Situasi ini selalu berlaku pada anak yang sedang membesar. Untuk mengatasi masalah ini, ajar anak untuk bersosial.

Aktiviti sosial memastikan anak kita mengenali dunia luar. Bawa anak berjumpa dan bergaul dengan orang-orang tertentu. Misalnya, kawan-kawan kita, saudara-mara atau kenalan yang belum anak kenal.

Dengan ini, anak akan dapat menjalinkan hubungan baik, sekaligus menghilangkan rasa takut pada orang yang tidak dikenali. Tapi ingat, jangan paksa anak!


2. TAKUT BERPISAH DENGAN IBU DAN AYAH

Anak kecil sering berasa takut jika berpisah dengan ibu dan ayah walaupun untuk sementara. Kebanyakkan kita anggap perkara ini tidak normal. Bagaimanapun, jika dibiar, hal ini pasti menimbulkan masalah.

Kita sebagai orang tua perlu bina sifat yakin diri pada anak. Setiap kali ingin berpisah dengan anak, terus-terang kepada anak dengan menyatakan tujuan dan destinasi kita.

Hal ini dapat menghilangkan rasa takutnya walaupun berpisah hanya untuk sementara. Secara tidak langsung, anak dapat bergaul dengan orang lain dan lama-kelamaan tidak takut untuk berpisah dengan kita.


3. TAKUT BINATANG ATAU SERANGGA

Ini satu lagi perkara yang selalu menimbulkan ketakutan pada anak. Jika dibiar, hal ini boleh buat anak takut pada binatang hingga dewasa.

Untuk mengurangkan rasa takut anak pada binatang, didik anak untuk mengetahui setiap binatang ada keistimewaan masing-masing. Jika anak takut dengan anjing, terangkan anjing tidak akan gigit jika tidak diganggu. Sama juga dengan binatang atau serangga laian.


4. TAKUT GELAP

Bukan anak saja, kadang-kadang ada juga orang dewasa yang takut gelap. Cara terbaik yang boleh dilakukan ialah dengan nyalakan lampu tidur, dan biarkan pintu terbuka selepas lampu dipadam. Jika tidak, teman anak hingga mereka tertidur.

Cuba luangkan masa dengan anak sebelum mereka tidur. Ambil peluang untuk bermain atau bercerita kepadanya. Dengan itu, anak pasti merasa tenang dan dapat tidur dengan nyenyak tanpa perlu risau tentang suasana gelap di bilik tidurnya.


5. TAKUT PETIR DAN KILAT

Bagaimana bantu anak yang takut petir? Apabila ada tanda akan adanya petit atau kilat, ajak anak tengok sinaran petir atau kilat sambil jelaskan sedikit maklumat tentang kejadian itu.

Jika anak tidak mahu, belikan buku yang berkaitan dan tunjukkannya gambar serta proses sebenar bagaimana kilat dan petir terjadi. Dengan itu, sedikit sebanyak ia akan membantu mengurangkan rasa takut anak.


6. TAKUT DOKTOR

Ramai kanak-kanak takut untuk jumpa dengan doktor, terutamanya doktor gigi dan tiba masanya untuk disuntik. Sediakan gula-gula, coklat atau permainan apabila ke klinik.

Selain itu, kia juga perlu main peranan. Bantu anak atasi rasa takut, tenangkan anak ketika bersama doktor. Hal ini akan mengurangkan rasa takut anak.


Kesimpulannya, jangan kita biarkan masalah ketakutan anak berlarutan sewaktu membesar. Jangan kita menakutkan anak dengan ugutan. Misalnya, “haa pergi lah, nanti anjing kejar”…”pergi la dapur, nanti momok tangkap dia”….

Selamat mencuba!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda