BIKIN hati isteri gembira bukanlah susah sangat kalau kena caranya. Kalau pujuk isteri merajuk, tidak sampai 5 minit pun dia boleh tersengih macam kerang busuk. Itu kalau kena caranya. Pendek kata, memang senang kerja mahu jaga hati dan perasaan orang perempuan ini.

Kali ini kami kongsikan beberapa teknik paling mudah untuk buatkan isteri gembira dan seronok. Tidak perlu modal tinggi pun, cuma perlukan sedikit kasih sayang dan kesabaran. Jom cuba!

1. SAYANGKU, ADA APA-APA YANG BOLEH ABANG TOLONG?

Ringankan mulut bertanya isteri kalau dia mahu bantuan untuk buat kerja rumah. Mesti tanya hari-hari, jangan pula cuba sekali sudah serik! Terus tidak mahu tolong lipatkan baju anak atau mopkan lantai.

Isteri yang penat pasti sangat gembira dan lembut hati selepas mendengar ayat paling syahdu ini. Bagi kaum hawa, bantuan ikhlas suami ialah ubat penat paling mujarab yang dapat buatkan hati jadi berbunga-bunga. Semakin hari, semakin mekar bunga di taman.

2. TERIMA KASIH SAYANG, AWAK ISTERI TERBAIK!

Ucapkan kata-kata manis kepada isteri setiap hari. Beritahu isteri setiap perkara yang dia lakukan sangat bermakna dalam hidup.

  • Terima kasih sayang sebab sediakan sarapan yang paling sedap di alam semesta…”
  • “Nasib baik sayang ada, kalau tak mesti abang tak mampu nak buat semua ini…”

Hargai setiap perkara sama ada besar atau kecil yang dia lakukan. Walaupun penat, isteri pasti tidak pernah jemu berbakti kepada anda.

3. HANTAR MESEJ GATAL DAN AYAT CINTA

Apa salahnya menggatal dengan bini sendiri. Setiap hari di tempat kerja, cari masa untuk WhatsApp-kan gambar anda berswafoto sambil diselit ayat cinta kepada isteri. Contohnya:

“Hai sayang buat apa tu? Abang tak sabar nak balik rumah ni, dah rindu sangat kat sayang”.

Isteri mesti seronok kalau suami selalu nak menggatalkan? Hubungan cinta pasti kekal hangat dan bahagia.

4. ABANG ADA SESUATU UNTUK SAYANG! 

Tidak perlu beli barang yang mahal untuk buat kejutan. Beli makanan yang isteri suka pun sudah cukup menggembirakan. Selalunya, kalau suami belikan makanan kegemaran, memang melebar saja senyuman si isteri.

Ini juga sebagai tanda yang anda sentiasa ingatkan isteri di rumah. Ada juga perkara yang sepatutnya tidak perlu diminta seperti balik kerja dan terus ke kedai untuk beli barang keperluan rumah. Sejuk hati isteri sebab dapat suami yang peka dengan keperluan keluarga.

4. RENUNG MATA ISTERI

Wujudkan ruang dan saat romantis setiap kali berada di bilik tidur. Renung dalam mata isteri dan ucapkan ayat-ayat menghairahkan isteri; “Sayang nampak cantik sangat malam ini.” Kemudian ciumlah isteri!

Senang betul hendak buat isteri gembira bukan? Wanita memang sentiasa inginkan perhatian, tambahan lagi daripada orang yang dicintainya. Sentiasa jaga hubungan romantis anda dan isteri kerana perkara kecil seperti ini sudah boleh buatkan isteri tersenyum dan bahagia. Selamat mencuba suami semua!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda