ADA ibu bapa menghantar anak masuk tadika seawal usia 3 tahun. Apapun, bergantung kepada kemampuan, keperluan dan apakah keutamaan ibu bapa untuk menghantar anak ke tadika pada usia tersebut.

Kepada ibu bapa yang mahu menghantar anak 5 tahun ke tadika tahun ini masih belum terlambat untuk mengajar dia berdikari sebelum memasuki alam pra sekolah.

Berikut tip memilih tadika terbaik dan menepati kemampuan ibu bapa:

1. KETAHUI PROGRAM DAN KURIKULUM

Dapatkan maklumat dan fahami bentuk program dan jenis kurikulum yang digunakan tadika pilihan. Biasanya tadika menyediakan perkara asas seperti:

  • Bahasa pertuturan
  • Aktiviti semasa yang dilakukan
  • Kandungan akademik dan bukan akademik
  • Penyusunan kelas dan waktu pembelajaran
  • Jumlah murid dan guru dalam kelas dan seluruh tadika

Buat pilihan mengikut kemampuan dan kebolehan anak-anak kita.

CONTOHNYA:

Sekiranya anak kita yang berumur 4 tahun langsung tiada pendedahan Bahasa Inggeris, menghantar anak ke tadika yang menggunakan bahasa Inggeris memerlukan sokongan dan persediaan kita di rumah.

2. KETAHUI MAKLUMAT GURU DAN KAKITANGAN

Dapatkan sebanyak mungkin maklumat asas tentang guru dan kakitangan yang mengendalikan tadika. Pemilik tadika yang bagus tidak menjanjikan tadika itu bagus. Latar belakang pemilik tadika memberikan kita 30 peratus keyakinan tentang keseluruhan pengurusan perniagaan dan program tadika tersebut.

Seterusnya, pastikan kita bercakap dan ada hubungan baik dengan guru dan pengetua tadika.

Kita juga boleh bertanya soalan kepada pengetua atau guru tentang tadika bagi melihat sejauh mana:

  • Pengetahuan dan kemahiran pengetua atau guru tentang pengendalian anak
  • Kemahiran komunikasi kakitangan tadika
  • Budaya kerja
  • Komitmen mereka kepada perkembangan anak-anak
  • Kesabaran melayani karenah anak dan ibu bapa

3. PERHATIKAN SUASANA PEMBELAJARAN

Lawat tadika yang jadi pilihan terlebih dahulu dengan membawa anak bersama bagi melihat maklum balasnya tentang tadika tersebut.

Berikut beberapa faktor yang perlu kita ambil tahu tentang suasana tadika:

  • Kebersihan
  • Keceriaan
  • Ruang
  • Fasiliti
  • Alat pembelajaran

Ruang yang wajib ibu bapa lihat ialah tandas, ruang makan dan rehat, kelas dan rak simpanan kasut. Lihat juga kemudahan lain, termasuk jaminan keselamatan.

4. AMBIL TAHU SISTEM PENGURUSAN

Sistem pengurusan yang baik memudahkan hubungan ibu bapa dengan guru. Kita perlu ambil tahu operasi harian seperti cara pembayaran yuran bulanan dan dengan siapa kita boleh berhubung terus sekiranya mempunyai masalah atau urusan.

Pilih tadika yang:

  • Mempunyai lebih daripada 1 cara komunikasi
  • Mempunyai pilihan cara pembayaran
  • Mengamalkan polisi pintu terbuka
  • Mempunyai sistem rekod pembayaran yang jelas

5. BANDINGKAN BAJET

Selepas kriteria di atas memenuhi keperluan anak kita. Kita perlu membuat perbandingan harga yuran bulanan dan tahunan yang menepati bajet keluarga.

Jadi buat pilihan ikut kemampuan kita. Contohnya:

TADIKA A

Yuran bulanan = RM340
Yuran tahunan = RM2,100

TADIKA B

Yuran bulanan = RM240
Yuran tahunan = RM1,900

Jika kedua-dua masih memenuhi bajet kewangan kita. Lihat kembali kepada keperluan anak ke tadika seperti:

  • Boleh membaca, menulis, mengira
  • Boleh bertutur dalam bahasa tambahan (Inggeris, Arab atau Mandarin)
  • Boleh bersosial

Selepas pembandingan dibuat. pilihlah tadika yang memenuhi keperluan anak dan pada masa sama menepati bajet kewangan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda