SUDAH ada keluarga, tanggungjawab pun semakin bertambah. Sebesar mana pun gaji besar, jika tidak tahu mengawal perbelanjaan, pasti setiap bulan gaji rasa semacam tidak \ cukup. Jadi, setiap keluarga terutama suami perlu bijak dalam hal menguruskan kewangan.

Jika pengurusan kewangan diamalkan secara berdisplin dan konsisten, pasti setiap bulan kita ada duit lebihan yang boleh disimpan ketika kecemasan atau boleh bawa anak dan isteri bercuti sekurang-kurangnya, setahun sekali.

1. SIMPAN 10 PERATUS SEBELUM BELANJA

Sebelum mengambil duit gaji untuk belanja harian, dapur, bayar ansuran, bayar hutang dan sebagainya, pastikan SIMPAN 10 peratus jumlah gaji ke dalam akaun simpanan.

Boleh simpan dalam ASB, Tabung Haji atau apa saja akaun simpanan yang ada. Bagi memudahkan urusan, kita boleh buat potongan terus daripada akaun gaji.

Selepas itu, barulah kita boleh gunakan duit gaji untuk urusan lain. Jika berniaga, kita boleh juga gunakan kaedah ini. Bagaimanapun, perlu disiplin supaya simpanan boleh digunakan ketika kecemasan atau terdesak.

Ini contoh jumlah simpanan jika berdisiplin setiap bulan:

GAJI = RM1,200 sebulan; SIMPAN 10% = RM120 sebulan x 12 bulan = RM 1,440 setahun; Kalau 5 tahun = RM7,200

Itu kalau gaji sebanyak itu, jika gaji lebih besar simpanan makin banyak. Jadi, terus disiplin dalam menyimpan.

2. RANCANG KEWANGAN

Perancangan kewangan amat penting supaya wang tidak digunakan untuk perkara tidak sepatutnya. Bahagikan jumlah wang untuk setiap kategori perbelanjaan dan komitmen bulanan.

Contoh Gaji: RM2,000 Sebulan

  • Simpanan (10%) RM200
  • Sewa rumah RM300
  • Ansuran kereta RM300
  • Bil elektrik/air RM100
  • Makan minum RM400
  • Sedekah RM100
  • Ibu Bapa RM200
  • Nafkah isteri /keluarga RM300
  • Lain-lain (minyak, tol, sosial, luar jangka) RM100

JUMLAH = RM2,000

Dengan perancangan ini, kita dapat tahu ke mana wang disalurkan. Lebih memudahkan, amalkan merekod dan mencatatkan perbelanjaan harian dalam buku kewangan khas. Lebihan wang, boleh simpan wang atau dibawa ke bulan depan.

3. BELANJA IKUT KEPERLUAN

Antara sebab ramai tidak cukup gaji ialah tidak patuhi tip ini. Kita mudah terpengaruh dengan perkara mengikut nafsu dan bukan keperluan.

Contohnya, tukar telefon pintar, tukar perabot baharu, kerap makan luar atau tukar sport rim kereta tanpa memikirkan relevan atau tidak barangan itu dibeli.

4. MINIMUMKAN PERBELANJAAN

Apabila kita mengurangkan perbelanjaan dan jumlah komitmen bulanan, kita akan mempunyai lebih banyak wang lebihan setiap bulan.

Contohnya, jika bil air dan elektrik mencecah RM150 setiap bulan, kita perlu fikirkan tentang bagaimana menjimatkan dan mengurangkan penggunaan elektrik dan air hingga RM100 sebulan. Jadi, kita boleh jimat RM50 sebulan.

Sama juga penggunaan saluran televisyen berbayar, bil telefon dan Internet. Ambil pelan atau pakej yang kita gunakan saja untuk menjimatkan perbelanjaan bulanan.

5. AMALKAN DERMA

Peruntukkan sejumlah wang untuk diderma setiap bulan. Jika boleh buat potongan zakat menerusi pusat zakat negeri pilihan atau negeri masing-masing.

Percayalah, dengan menderma, Allah akan cukupkan keperluan dan tambahkan rezeki berganda-ganda dalam situasi yang tidak disangka. Rezeki juga akan jadi lebih berkat dan tidak pernah kering.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda