KEBIASAANNYA, apabila anak mahu tidur kita akan berikan susu hingga dia terlelap. Tidak salah, tetapi akan terbawa-bawa hingga dia meningkat usia nanti. Sudahnya, asal hendal tidur, mesti minta susu.

Ikuti perkongsian Dr Ezairy M Sallih yang dipetik daripada laman Facebook tentang cara mendidik anak kecil supaya tidur sendiri tanpa perlu memberikan susu atau dibuai.

***Status di bawah disunting mengikut skema penulisan kami tanpa menjejaskan maksud sebenar kandungan asal. Status asal boleh dibaca pada pautan di akhir artikel. Harap maklum.


Bagaimana merangsang bayi tidur sendiri?

Persoalan seperti ini sudah tentunya jarang terfikir dalam fikiran kita, betul? Namun percayakah anda apabila kena pada cara dan langkahnya, anak kita mampu dididik untuk tertidur dengan mudah.

Cuba lihat beberapa perkara ini:

1. BAWA ANAK KE BILIK TIDUR LEBIH AWAL

Perkara pertama ini penting. Ia amat penting untuk membiasakan anak dan bayi kita bahawa inilah masa mereka tidur. Kita akan merangsang anak sedari kecil lagi untuk tidur lebih awal. Rangsangan ini amat berharga kerana persediaan sebelum tidur amat diperlukan anak kecil sebelum mereka mampu tidur.

2. RUTIN TIDUR YANG TERATUR

Ini juga antara perkara paling penting. Langkah paling baik ialah mendidik masa untuk anak kita tidur sejak usia bayi. Ya, bayi memerlukan jangka masa tidur lebih lama berbanding dewasa. Tidak sama seperti kita. Cuba latih mereka tidur pada waktu sama pada setiap hari, supaya jadual ini akan terus berlaku hingga dia meningkat usia.

3. RUTIN MASA TIDUR YANG KONSISTEN

Ini juga penting. Bagi kita yang ada anak pada usia kanak-kanak, cuba lakukan aktiviti sebelum tidur yang menenangkan, damai dan mampu merangsang dia tidur. Ini termasuk bercerita, menyanyi, alunan zikir dan sebagainya mengikut kesesuaian. Ia penting untuk mendidik anak-anak bahawa itulah masa mereka mula tidur.

4. LETAK ANAK ATAS KATIL ATAU TILAM KETIKA MENGANTUK

Ada ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka terus bermain walaupun mereka sudah kelihatan sangat letih dan mengantuk. Cuba lazimkan dengan meletakkan anak kita di bilik dalam suasana sunyi dan tenang sebaik saja lihat mereka letih. Ini secara tidak langsung, kita sedang melatih dan merangsang mereka belajar tidur sendiri tanpa pengaruh kita.

5. CUBA KURANGKAN TABIAT MENYUSU ANAK SAMPAI TERTIDUR

Ya, ini antara langkah yang sering kita lihat dan lakukan. Ia tidak salah. Cuma, apabila terlalu kerap kita lakukan cara begini, kita tidak langsung memberi peluang kepada anak untuk belajar tidur tanpa pengaruh luar. Sesekali cuba lepaskan susuan apabila lihat anak sudah sangat letih, dan biarkan mereka tertidur sendiri.

Ibu bapa sekalian, belajar menenangkan diri sendiri dan seterusnya mudah tidur untuk anak-anak memang memerlukan masa, kesabaran, ruang dan tenaga, sama ada ibu, ayah dan bayi itu sendiri. Ada anak yang memerlukan masa lebih lama untuk mempelajarinya. Setiap anak tidak sama.

Bersabar dan teruskan dengan langkah yang anda lakukan sekarang. Lakukan dengan cara paling tenang, mudah dan penuh kasih sayang. Sentiasa percaya suatu hari nanti ia pasti akan mudah buat anak kita.

Jika anda rasa perkongsian ini amat bermakna, sila kongsikan.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda