PEMERIKSAAN pap smear ialah prosedur yang perlu dilakukan secara berkala bagi mengesan sebarang perubahan yang berlaku terhadap sel pangkal rahim bagi mengesan potensi awal sel kanser.

Setiap wanita disarankan menjalani pemeriksaan pap smear, terutama mereka yang baru lepas bersalin. Namun, ramai yang tidak melakukannya kerana sering dimomokkan dengan kisah-kisah ngeri tentang prosedur tersebut.

Jangan ambil mudah tentang pemeriksaan pap smear kerana tindakan awal yang dilakukan dapat membantu kita mengesan kanser serviks jika ada.

Apa pentingnya ujian pap smear?

1. DAPAT KENAL PASTI SEL KANSER

Seperti diberitahu, pap smear ialah prosedur berkala untuk mengesan perubahan sel pangkal rahim di peringkat awal sebelum bertukar jadi sel kanser. Ini ialah ujian saringan sahaja.

Seandainya sudah ada kanser pangkal rahim, ujian pap smear sudah tidak bermakna lagi.

Keputusan pap smear tidak normal bukan bermakna kita mengidap kanser serviks. Mungkin juga menunjukkan ada jangkitan lain dan pemeriksaan lanjut perlu dibuat. Atau cuma perubahan sel serviks tahap awal yang mungkin berubah jadi kanser jika tidak dirawat.

2. MUDAH DAN CEPAT

Prosedurnya tidak sampai lima minit. Yang penting jangan gementar dan jangan keraskan badan. Susah speculum hendak masuk dan pap smear dilakukan. Cara mudah, tarik nafas dan hembus.

3. MURAH DAN BOLEH DILAKUKAN DI KLINIK ATAU HOSPITAL

Kebanyakan klinik kesihatan ibu dan anak atau klinik Kerajaan ada menawarkan pemeriksaan pap smear secara percuma untuk rakyat Malaysia seluruh negara. Di klinik swasta, mungkin caj agak mahal bergantung tempat masing-masing.

Bukan semua wanita perlu melakukan pemeriksaan pap smear, ia cuma untuk mereka yang sudah berkahwin dan pernah melakukan hubungan kelamin sahaja.

4. PEMERIKSAAN BERKALA, BUKAN SETIAP TAHUN

Pemeriksaan ini hanya perlu dilakukan 2-3 tahun sekali. Biasanya ujian kali pertama dan kedua dilakukan sekali setiap 2 tahun. Sekiranya keputusan negatif, kita hanya perlu mengulangi setiap tiga tahun sekali.

Masa diambil bagi sel normal untuk menjadi sel kanser ialah antara 2-10 tahun. Jadi, sekiranya pap smear dilakukan setiap tiga tahun, peluang mengesan sel-sel yang berpotensi jadi sel kanser adalah cerah sebelum merebak jadi kanser serviks.

5. TIDAK SAKIT

Ujian pap smear bukan prosedur menyakitkan atau mengerikan seperti yang dibayangkan, mungkin akan rasa sedikit tidak selesa pada bahagian kelamin.

Bagi yang belum pernah melakukan pap smear. Berikut ialah prosedur yang akan dibuat:

  • Tanggalkan seluar dalam dan baring atas katil dengan lutut dinaikkan dan dibengkokkan.
  • Spekulum akan dimasukkan ke dalam vagina untuk membuka laluan.
  • Doktor akan memasukkan spatula kayu, untuk mengambil sampel sel daripada dinding servik.
  • Sampel tersebut kemudian akan dihantar ke makmal untuk diperiksa ahli patologi.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda