TANGGAPAN negatif tentang suntikan vaksin semakin berleluasa sejak wujud golongan anti-vaksin hingga mencetuskan kekeliruan ibu bapa terhadap kesan sampingan ke atas bayi dan kanak-kanak yang boleh membawa maut.

Ibu bapa yang terpengaruh mula risau, dan kesannya jumlah golongan anti-vaksin semakin bertambah sejak tahun lalu. Di Malaysia, suntikan vaksin diwajibkan kepada semua sejak bayi dilahirkan bagi mengelak penyakit berbahaya yang berjangkit.

Apa kata kita ketahui dulu beberapa salah tanggapan mengenai suntikan vaksin sebelum tergamak bertindak menentang dan mengelak alternatif pencegahan dalam dunia perubatan itu.

1. VAKSIN BERI KESAN SAMPINGAN BAHAYA

Vaksin diuji selamat. Bagaimanapun, mungkin ada yang mengalami kesan sampingan suntikan vaksin, tetapi kesannya ringan dan bersifat sementara seperti bengkak, sakit lengan atau demam ringan. Semua kesan itu boleh diatasi dengan mengambil parasetamol jika demam.

Kesan sampingan lebih serius akibat alergi boleh berlaku tetapi sangat jarang dan boleh dicegah dengan mendapatkan nasihat betul daripada doktor.

Ada tuduhan mengaitkan vaksin dengan pelbagai penyakit yang terbukti tidak benar. Misalnya kes vaksin MMR menyebabkan autisme kerana memang kedua-duanya tiada kaitan berikutan kajian dijalankan saintis.

2. VAKSIN TIDAK PERLU KERANA PENYAKIT ITU TIADA DI MALAYSIA

Di Malaysia, banyak penyakit yang dapat dicegah dengan vaksin seperti polio dan cacar yang kini sudah dihapuskan. Namun, itu tidak bermakna penyakit itu tidak wujud.

Begitu juga polio yang masih wujud di dua negara seperti Afghanistan dan Pakistan. Kedua-dua penyakit itu boleh dibawa masuk ke dalam negara kita menerusi pelancong dan pekerja asing.

3. PENYAKIT HILANG MENERUSI KEBERSIHAN DIRI BUKAN VAKSIN

Walaupun kebersihan diri sangat penting dalam kehidupan, tetapi itu bukan satu-satunya faktor kepada pengurangan jumlah penyakit berjangkit berbahaya.

Faktanya, peratusan jumlah penyakit dapat dikurangkan dengan vaksin. Contohnya, selepas vaksin campak diperkenalkan pada 1963, penurunan kekal dalam bilangan kes campak dapat dilihat.

4. VAKSIN BERBILANG JEJAS SISTEM IMUN

Data saintifik yang ada membuktikan suntikan vaksin gabungan tidak menyebabkan kesan buruk kepada sistem imun kanak-kanak normal. Pelbagai kajian dan penyelidikan juga menunjukkan vaksin gabungan adalah berkesan dan selamat seperti vaksin tunggal.

Malah, vaksin gabungan mungkin lebih baik, dengan memberikan semua manfaat vaksinasi dalam bilangan suntikan yang sedikit, termasuk mengurang sesi bertemu doktor.

5. JANGKITAN DARIPADA INDIVIDU YANG TIDAK DIVAKSIN

Memang ada kes individu divaksin terdedah kepada penyakit daripada mereka yang tidak divaksin, tetapi itu tidak membuktikan ketidakberkesanan vaksin.

Hal ini kerana keberkesanan vaksin bukan 100 peratus (keberkesanannya 85 hingga 95 peratus) kerana ada sesetengah individu tidak bertindak balas kepada vaksin.

Bagaimanapun, peratusan orang tidak divaksin untuk dijangkiti adalah lebih tinggi berbanding mereka yang divaksin. Contohnya, dalam kes difteria negara kita yang berlaku tahun lalu menunjukkan semua mangsa penyakit itu disebabkan tidak diberikan vaksin primer ketika kanak-kanak.

SUMBER: MyPositiveParenting.com 

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda