IBU bapa yang kali pertama menimang cahaya mata pasti rasa kekok serba serbi sebab tiada pengalaman. Macam-macam ketakutan dan kerisauan terlintas dalam fikiran. Apa aku nak buat ni?

Artikel kali ini akan berkongsi 5 perkara penting yang WAJIB ibu bapa ambil tahu sebaik saja menyambut kelahiran anak anda.

1. PENJAGAAN TALI PUSAT

Elakkan tali pusat anak dicemari bahan-bahan tambahan seperti serbuk kunyit, halia, madu atau herba. Kekalkan tali pusat dalam keadaan bersih. Tidak disarankan mencuci tali pusat bayi dengan antiseptik, iodin, ubat luka dan alkohol.

Tali pusat akan tertanggal dalam tempoh 1-2 minggu. Selalu perhati dan periksa tapak pusat anak, jika ada nanah, bau kurang menyenangkan, atau kulit bertukar merah atau bengkak, sila jumpa doktor.

2. KESAN SUNTIKAN VAKSIN 

Perhatikan kesan suntikan vaksin BCG, vitamin dan Hepatitis B. Peratusan bayi yang akan mengalami radang pada bekas suntikan vaksin dan vitamin sejurus kelahiran ialah minimum.

Namun, kesan radang akan beransur hilang dalam tempoh seminggu. Jika bayi mengalami bengkak pada bekas suntikan, rengekan berpanjangan atau demam, sila segera ke klinik atau hospital untuk dapatkan pemeriksaan lanjut dan rawatan doktor. Kebanyakan kes tiada komplikasi serius akan berlaku.

3. PERHATIKAN WARNA KULIT BAYI

Ada dua perubahan akan berlaku:

i. BINTIK RUAM 

Awal minggu pertama, sesetengah bayi akan timbul bintik ruam, terutama di kawasan lipatan kulit dan sendi. Ini fenomena biasa kerana kulit bayi masih muda dan terdedah dengan suasana baharu. Tidak perlu rungsinghingga letakkan minyak senyoyong, gamat dan minyak bayi.

ii. KULIT WARNA KUNING

Istilah perubatan yang biasa disebut ialah jaundis. Perhatikan bilakah jaundis bermula. Jika berlaku seawal 24 jam, sila bawa segera ke hospital kerana kemungkinan bayi menghidap jaundis akibat penyakit darah. Pengesahan doktor perlu dilakukan segera.

Jika jaundis itu timbul selepas hari pertama, kebanyakannya akibat perubahan fisiologi. Pertukaran darah ibu kepada darah bayi itu sendiri yang akan menimbulkan jaundis secara fisiologi ini.

Namun, kita perlu bawa anak ke klinik kesihatan bagi mempastikan paras kuning tidak melebihi julat dibenarkan. Ujian darah akan di ambil petugas kesihatan. Pemantauan paras kuning amat penting.

Jika melebihi had sepatutnya, dibimbangi jaundis akan memudaratkan tubuh bayi terutama otak. Episod jaundis fisiologi ini biasanya akan berakhir dalam minggu kedua kelahiran.

4. PERHATIKAN KENCING BERAK BAYI 

Pada hari pertama atau kedua, kencing bayi akan berwarna kemerahan atau merah jambu. Ini keadaan biasa dihadapi bayi kerana kandungan air kencing yang mengandungi garam axalate.

Kemudian, air kencing akan bertukar warna jenih atau kuning. Begitu juga najis, akan berwarna kehitaman atau merah kerana najis yang berasal dari dalam kandungan ibu lagi.

Kadangkala sudah bercampur air ketuban yang pernah diminum ketika dalam rahim. Isipadu kencing dan berak juga perlu dipedulikan. Kekurangan minum air susu ibu boleh digambarkan melalui berapa banyak isipadu kencing dan berak.

Jika anak berak kurang 4 kali sehari atau kencing kurang 6 kali sehari (boleh lihat basahnya lampin pakai buang) boleh dianggap anak kurang minum susu. Bayi boleh kekurangan air susu (dehidrasi).

Jadi, menyusu ibu secara eksklusif amat penting. Ibu-ibu muda perlu dapatkan bantuan kumpulan sokongan penyusuan susu ibu bagi mendapatkan khidmat nasihat lanjut berhubung masalah penyusuan jika timbul.

5. BERAT BAYI 

Jangan risau berat bayi sedikit kurang pada minggu pertama atau kedua. Setiap bayi akan berkurangan 5-6 peratus daripada berat lahir dalam tempoh dua minggu awal.

Kemudian berat akan bertambah 20g – 30g dalam seminggu kemudian dengan syarat bayi disusukan secara konsisten. Jangan sesekali bertukar kepada susu formula sekiranya mendapati berat badan bayi menurun.

Selalu berhubung dengan jururawat masyarakat yang mengunjungi di rumah ketika pemeriksaan berkala dilakukan. Ambil peluang pastikan kita dan bayi sentiasa dalam keadaan sihat.

Tanda-tanda kita perlu ke hospital atau klinik dengan segera ialah bayi sesak nafas, kulit bertukar warna kebiruan, berat statik dalam tempoh sebulan, demam dan muntah berak teruk.

SUMBER: Dr Suhazeli Abdullah

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda