PERNAH atau tidak anda terfikir yang hati boleh jadi sakit, retak dan hancur berderai akibat perbuatan sendiri? Ini bukan tentang sakit fizikal, tetapi perasaan yang ada kaitan dengan emosi atau jiwa.

Ayat pedas dan panas buatkan hati sakit, sikap tunjuk perasaan marah dan geram juga boleh menyebabkan hati kita tidak sihat. Jangan ingat gangguan manusia dan persekitaran saja yang menjejaskan kesihatan hati, tetapi diri kita sendiri pun jadi punca merosakkan hati!

Agaknya apakah 5 perkara yang boleh merosakkan hati seorang wanita itu?

1. KERAP MENGELUH DAN RASA SERBA TIDAK CUKUP

Kerap mengeluh sebab duit tidak cukup untuk mengubah penampilan diri? Jangan mengeluh! Ingatlah, masih ramai manusia di luar sana yang miskin, lapar dan sakit. Kenapa kesihatan dan kecantikan kita masih belum cukup untuk buat kita bersyukur dan redha kepada ketetapan takdir.

2. SENTIASA BERSEDIH DAN RASA DIRI MENDERITA

Berdoalah supaya segala kesulitan dan kapayahan hidup berakhir. Dalam kesusahan hidup, masih ada kemudahan. Jika masih ada tempat bergantung, mengadu dan mohonlah pertolongan, jangan masih rasa derita.

Beranilah hadapi kenyataan untuk mengubati hati yang sedih. Masih ramai orang di luar sana yang perlu berdepan ujian hebat selain kita. Sekali-sekala, cuba tengok orang di bawah, pasti menangis!

3. JADI LEMAH DAN MALAS

Penyakit wanita paling bahaya – MALAS! Duduk terbongkang depan televisyen, dengar muzik dan segala jenis hiburan selama berjam-jam memang boleh melalaikan kita!

Terlalu banyak makan juga buatkan badan lemah. Banyak bergosip turut merosakkan hati dan pemikiran. Isi masa lapang dengan perkara bermanfaat. Hiasi diri, jaga rumah dan anak. Kepada yang belum berkahwin, aktifkan diri dengan sukan, ilmu dan ibadat.

4. BAKHIL DAN ABAI TANGGUNGJAWAB

Jangan bakhil dengan rezeki dikurniakan Tuhan. Dalam rezeki yang kita terima, ada juga hak orang miskin dan anak yatim. Jangan lupa kongsikan rezeki dengan ibu bapa. Bukan hanya duit, berikan perhatian dan jagalah mereka.

Jangan abaikan bertanggungjawab sebagai isteri, ibu, anak dan pekerja. Isteri ialah pemegang amanah suami. Kerjaya, rumah tangga dan anak-anak ialah urusan besar yang akan menentukan, dan menyelamatkan kita pada hari perhitungan nanti.

5. SUKA BERHUTANG

Jangan ikut sangat nafsu hati. Berbelanjalah ikut kemampuan diri, jangan kerana mahu bermegah buatkan kita mewah dengan hutang. Segalanya mahu dilangsaikan dengan kad kredit dan pinjaman bank. Daripada rumah, kereta, percutian hingga barangan harian. Semuanya mahu berhutang. Bayarnya pula minimum saja. Sudahnya hutang berkepuk.

Ada juga sanggup membuat pinjaman ‘Ah Long’ untuk memuaskan nafsu. Akibat kurang bijak menguruskan kewangan keluarga, akhirnya hidup kita jadi tidak tenteram. Ukur baju, di badan sendiri!

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda