ANAK tantrum memang boleh mengganggu ketenteraman awam, tambahan lagi jika si anak tidak dapat dikawal. Selain membuatkan ibu bapa panik, mereka juga tidak mengelakkan rasa malu apabila memikirkan tentang tanggapan dan pandangan orang ramai.

Sudahnya, sebaik saja melihat anak sudah mula menunjukkan tanda mahu tantrum, ibu bapa lebih memilih untuk mengajak anak pulang ke rumah.

Artikel ini akan berkongsi status dimuat naik Dr Taufiq Raziq mengenai masalah tantrum dan reaksi ditunjukkan kita kepada ibu bapa yang menghadapi masalah anak tantrum di khalayak umum.

Mungkinkah kita tanpa sedar pernah melakukan kesilapan ini? Semoga perkongsian ini dapat mengubah ‘mind set’ kita.


Jangan Buat 5 Benda Ini Jika Nampak Anak Orang Lain Mengamuk

Pernah ada seorang budak mengamuk sampai terjerit-jerit dan berguling-guling di depan saya tetapi saya tidak masuk campur. Salah masuk campur boleh jatuh air muka ibu bapanya. Ini 5 benda kita tidak boleh buat kalau nampak anak orang lain mengamuk:

1. KITA TENGKING ANAK ITU

  • Tengkingan hanya memburukkan keadaan. Sama ada anak itu jadi makin mengamuk. atau anak itu jadi diam terus.
  • Perbuatan ini bagus untuk jangka masa pendek, tetapi buruk untuk jangka masa panjang.
  • Anak mungkin trauma dengan orang asing buat selama-lamanya.

2. PANDANG ANAK DAN KELUARGA DENGAN SINIS

  • Pandangan sinis hanya membuatkan ibu bapa si anak yang sedang mengamuk itu jadi lebih cemas.
  • Rasa cemas itu hanya membuatkan emosi ibu bapa jadi lebih kacau-bilau.
  • Bagaimana mahu kawal emosi anak kalau emosi ibu bapa sendiri sedang kacau dan tidak stabilkan?

3. JANGAN MENGATA

  • Anak mengamuk dan tantrum boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.
  • Boleh jadi kepada sesiapapun walaupun dia pakar kanak-kanak kerana tantrum dan amukan ialah cara anak-anak berkomunikasi dan meluahkan rasa di dada.
  • Kita tidak boleh hentikan benda itu 100 peratus, tetapi boleh bimbing dan bimbing supaya terkawal dan tidak melampaui batas.

4. JANGAN ANGGAP ANAK ITU NAKAL

  • Anak mengamuk dan tantrum tidak semestinya nakal.
  • Anak tantrum ialah anak yang masih dalam proses untuk belajar peraturan diri (self regulation) dan komunikasi.

5. JANGAN MALUKAN IBU BAPA DEPAN UMUM

  • Walaupun di mata kita, kita nampak ibu bapa itu semacam tidak pandai mengawal anak, kita tetap kena bersangka baik. Kita kena ingat, anak itu tantrum dan mengamuk ada banyak sebab.
  • Boleh jadi disebabkan keperluan fisiologi yang tidak dipenuhi seperti tidak cukup tidur, lampin penuh, lapar ataupun kepanasan.
  • Boleh jadi kerana rangsangan sekeliling terlampau banyak. Contohnya, bunyi bising ataupun cahaya lampu yang terlalu berkelip dan terang.
  • Jadi tidak adil kita nak menghakimi ibu bapanya hanya kerana anaknya mengamuk.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda