ANAK kecil dan telefon bimbit bukan lagi perkara janggal era moden ini. Bagi mengelakkan anak daripada menangis atau duduk tidak diam, ibu bapa terpaksa guna alternatif paling mudah dengan berikan anak-anak tarikan atau hiburan segera, iaitu gajet berupa telefon pintar.

Ada ibu bapa yang menganggap tindakan memberikan telefon puntar kepada anak kecil dapat membantu mereka belajar sesuatu daripada video atau kartun. Apakah kita tahu kesan buruk di sebalik sikap sendiri yang mahu lari daripada melayan kerenah anak-anak?

Sekarang, mari kita lihat apakah kesan buruk telefon pintar terhadap perkembangan anak kecil.

 

1. PERKEMBANGAN ANAK JADI LEMBAP

Tahukah anda, bayi berusia setahun ke bawah sepatutnya lebih banyak berinteraksi dengan manusia dan aktiviti sekeliling. Terlalu bergantung dengan skrin telefon akan memberikan kesan bahaya ke atas perkembangan otak anak.

Bayi berusia setahun dan ke bawah lebih cepat belajar jika sering berinteraksi dengan orang sekeliling mereka. Proses melihat, ingatan, menilai dan berfikir akan terganggu kerana apa dipaparkan dalam skrin tidak sama dengan realiti sebenar. Pembelajaran anak akan terjejas apabila masuk ke alam persekolahan nanti.

2. KURANG SELERA MAKAN

Kurang selera makan juga boleh dikaitkan dengan telefon pintar. Jika terlalu terdedah kepada skrin telefon pintar, fokus si kecil boleh hilang dan membuatkan selera makan berkurangan.

Telefon pintar juga boleh menyebabkan anak-anak tidak mendengar atau tidak memberikan respon jika dipanggil ibu bapa kerana sibuk melayan hiburan dalam gajet yang ditatap.

3. LAMBAT BERCAKAP

Kanak-kanak berusia 1-2 tahun mesti banyak berinteraksi dengan ibu bapa, adik-beradik dan juga kanak-kanak seusia. Bagaimanapun, jika mereka selalu didedahkan dengan telefon pintar, kemahiran berkomunikasi akan berkurangan dan menyebabkan lambat bercakap.

4. SELALU MENGAMUK DAN MELENTING

Jika anak sudah terbiasa duduk diam dengan kehadiran skrin, mereka mudah mengamuk dan cepat melenting jika tidak diberikan telefon bimbit atau jika ada sesiapa mengganggu aktiviti mereka. Jika tidak diberikan telefon pula, mereka akan mengamuk dan mula membaling objek.

5. KOORDINASI MOTORIK LEMAH

Kanak-kanak berusia 2 tahun dan ke bawah sepatutnya meneroka persekitaran kerana mereka cepat belajar dengan objek yang disentuh.

Kepada ibu bapa yang memberikan telefon bimbit dan menjadikan skrin sebagai mainan anak, anda harus fikirkan kesan buruk terhadap perkembangan anak-anak. Sebagai ibu bapa, kita boleh mengawal penggunan telefon pintar dan bawa anak meneroka dunia luar untuk mengasah daya imaginasi mereka.

SUMBER: UtaraNews

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda