MENDIDIK anak bukan perkara mudah, tetapi sebagai ibu apa, memang sudah jadi tanggungjawab kita untuk memastikan mereka dibesarkan dengan ilmu agama yang cukup.

Mendidik anak untuk menunaikan solat akan jadi lebih mudah sekiranya kita mula mengajar mereka sejak usia kecil lagi. Berikut 5 tip mendidik anak kecil bersolat:

1. IBU BAPA HARUS TUNJUK CONTOH

Anak-anak ialah cermin kepada diri kita sendiri. Sebagai ibu bapa, kita perlu menunjukkan contoh baik kepada anak-anak supaya mereka dapat mencontohi apa yang kita lakukan.

Ibu bapa hendaklah berusaha menunaikan solat secepat mungkin sebaik saja mendengar azan atau masuk waktu bersolat. Kesannya, anak-anak akan sedar dan tahu tentang kepentingan solat pada waktunya.

Pada masa sama, kita juga dapat mendisiplinkan diri menunaikan solat pada masa tepat. Jangan pula mebgharapkan anak bersolat jika kita sendiri malas dan melengah-lengahkan waktu solat.

Sekiranya anak-anak sudah terbiasa melihat kita bersolat, Insya-Allah, mereka pasti akan mengikuti rutin harian yang pernah dilakukan kita.

2. SOLAT BERJEMAAH

Jangan risau mengajak anak-anak solat berjemaah. Jika mereka bising atau mengganggu kita ketika bersolat, biarkan saja. Inilah proses pembelajaran yang harus dilalui si kecil dan kita juga harus ingat, si kecil akan meniru apa saja yang dia nampak.

Sebaik saja selesai solat, jangan lupa peluk, cium dan puji si kecil kerana berjaya mengikuti kita solat secara berjemaah. Anak-anak akan rasa dihargai dan mereka pasti mahu berusaha mengikuti kita menunaikan solat berjemaah.

3. BAWA ANAK KE MASJID ATAU SURAU SEJAK KECIL

Bak kata pepatah Melayu, ‘melentur buluh biarlah dari rebung’. Biasakan bawa anak kecil ke masjid supaya dia dapat membiasakan diri bersolat jemaah. Kebiasaannya, kanak-kanak akan berjumpa kawan baharu di masjid. Ini akan membuatkan mereka lebih seronok untuk ikut bapa ke masjid.

Jangan marah, dan cubit atau serik mahu bawa anak kecil jika mereka tiba-tiba menunjukkan ragam seperti memanjat bahu dan punggung ketika kita sedang bersujud. Bawalah bersabar dan bertenang.

4. BELI PAKAIAN SOLAT

Belikan si manja sejadah, telekung, kopiah dan jubah yang comel. Apabila anak ada pakaian solat yang dia suka, dia akan lebih bersemangat mahu bersolat dan mengaji.

5. SENTIASA DOAKAN ANAK

Akhir sekali, sentiasa mendoakan anak kesayangan kita supaya lembut hati dan rajin mendirikan solat. Berdoalah supaya kita dapat mendidik anak-anak kita menjadi anak soleh dan solehah. Semoga kita semua dapat menjadi ibu dan bapa cemerlang dunia dan akhirat.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda