MAHU ingat nama ubat memang payah, lebih-lebih lagi yang namanya panjang dan saintifik, sampai berbelit lidah. Walaupun susah, tetapi tetap kena cuba ingat kerana banyak memudahkan kerja doktor.

Jangan ambil mudah perkara ini, ibu-ibu. Mari kita amalkan tip mudah di bawah ini tentang bagaimanakah cara mengingati nama atau jenis ubat.

KENAPA PERLU TAHU NAMA UBAT?

1. KENAL PASTI KESESUAIAN UBAT PADA ANAK

Doktor perlu tahu ubat yang diberikan sebelum ini sesuai dengan anak atau tidak.

Contoh: Jika selepas makan antibiotik anak masih belum baik, ada kemungkinan kuman itu tidak respon dengan ubat tersebut dan perlukan jenis lain.

2. ELAK ALAHAN KE ATAS ANAK

Doktor juga perlu tahu anak kita mungkin tidak sesuai dengan ubat tertentu kerana faktor alahan atau sebagainya.

3. KLINIK DAN DOKTOR LAIN

Jika kita perlu ke hospital dan klinik berlainan, sangat penting doktor mengetahui jenis ubat yang pernah diberikan kepada anak. Kalau doktor klinik pula, melainkan kita mengunjungi klinik yang sama, doktor klinik lain memang tidak menyimpan sejarah perubatan anak kita.


4 TIP INGAT NAMA UBAT

1. HAFAL

Bagi langkah pertama ini, hafal nama ubat yang tertera di botol. Mahu mudah, hafal huruf paling besar. Memang nama ubat susah disebut, ada sampai berbelit lidah dibuatnya. Dapat bunyi awal dan akhir hampir sama pun sudah kira OK.

2. TANGKAP GAMBAR

Jika susah hendak hafal atau ingat nama ubat, kita boleh ambil gambar ubat tersebut. Apabila doktor tanya jenis ubat, kita terus tunjukkan gambar itu.

3. CARA PEMAKANAN UBAT

Jika tidak sempat hafal nama atau tangkap gambar kerana ubat sudah habis dan botol sudah dibuang, cuba ingatkan jadual pengambilan. Contohnya ubat antibiotik: Kekerapan pengambilan ubat antibiotik adalah berbeza mengikut jenis.

4. WARNA UBAT

Warna ubat sebenarnya tidak memberikan banyak maklumat, tetapi sedikit sebanyak boleh membantu doktor mengenal pasti jenis ubat tersebut. Beritahu juga bentuk dan warna botol kalau masih ingat!

Semoga bermanfaat untuk semua ibu. 🙂

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda