SITUASI pedih dan perit pada puting susu selepas dan ketika menyusukan anak sering dialami ibu menyusu yang berpunca akibat jangkitan kulat candida.

Ibu menyusu jangan ambil lewa kerana kita perlu mendapatkan rawatan segera untuk mengelakkan anak turut dijangkitan kulat tersebut. Apakah punca dan cara mengatasi jangkitan kulat tersebut?

APA ITU KULAT CANDIDA?

Candida ialah sejenis kulat yis yang boleh hidup pada kulit manusia. Bagaimanapun, pada asalnya tidak menimbulkan masalah dan hanya akan memberi kesan negatif apabila kulat mula tumbuh secara tidak terkawal akibat jangkitan kulat dikenali candidiasis.

Biasanya jangkitan itu sering berlaku pada ibu menyusu. Jika mengalami jangkitan kulat itu, anak turut akan terkena jangkitan sama pada lidah dan bahagian dalam mulut, dikenali sebagai seriawan dan ruam lampin.

Gejala ini menyebabkan anak kurang atau tidak mahu menyusu kerana sakit mulut.

PUNCA JANGKITAN CANDIDA

1. PENGGUNAAN UBAT ANTIBIOTIK

Menggunakan ubat antibiotik dalam tempoh terdekat boleh membunuh bakteria baik dalam badan, tetapi menyebabkan pertumbuhan kulat tidak terkawal secara tidak sengaja.

2. LUKA PADA KULIT ATAU PUTING

Luka pada kulit atau puting membolehkan kulat membiak di kawasan tersebut kerana kelembapan ialah habitat yang sesuai untuk pertumbuhan kulat.

3. KENCING MANIS

Ibu yang mempunyai penyakit kencing manis tidak terkawal berisiko dijangkiti ulat candida.

4. BOTOL SUSU TIDAK BERSIH

Jangkitan juga boleh berlaku disebabkan penggunaan botol atau puting botol susu tidak bersih.

GEJALA JANGKITAN KULAT CANDIDA

  • Sakit puting ketika dan selepas penyusuan yang tidak pernah dialami sepanjang penyusuan.
  • Sakit seakan pisau menusuk atau rasa panas dan terbakar pada payudara.
  • Puting dan kawasan areola menjadi berkeruping dan kemerah-merahan.
  • Terdapat tompok putih pada mulut bayi yang menunjukkan si bayi mungkin terkena jangkitan.

RAWATAN

Jangkitan kulat pada puting payudara boleh dirawat dengan memberikan ubat antikulat seperti Nystatin atau miconazole. Ibu dan bayi akan dirawat bagi memastikan jangkitan sudah sembuh sepenuhnya dan tidak berulang.

CARA ELAK JANGKITAN KULAT CANDIDA

1. TEKNIK PENYUSUAN YANG BETUL

Pastikan bayi menyusu dengan betul bagi mengelakkan puting luka.

2. ELAK PUTING KOSONG

Elakkan menggunakan puting kosong (soother) atau botol susu, tetapi jika terpaksa botol perlu disteril dengan air panas setiap hari dan tukar kepada puting baru secara berkala.

3. JAGA KEBERSIHAN

Pastikan kebersihan tangan sebelum dan selepas menyusu.

4. PAYUDARA SENTIASA BERSIH

Sentiasa pastikan kebersihan payudara dan coli penyusuan dengan membasuh setiap hari dan dijemurkan di bawah sinaran matahari untuk membunuh kulat.

1 KOMEN

  1. Salam sy tanya , jikalau payudara kita dijangkiti kulat .. slpas itu kita pam susu n simpan dlm peti .. boleh ke kita beri susu tersebut pada ank ? Betul ke kulat itu akn mmbiak di dlm susu tersebut dsebabkn disimpan dlm peti ?

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda