BARU saja beranak awal tahun, tahun depan sudah mengandung lagi? Rezeki itu milik Allah, tetapi perlu ambil berat tentang perancangan keluarga terlebih dahulu.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak timang bayi kenalalah terima dengan reda. Sebenarnya ada banyak perkara perlu dipertimbangkan jika mahu menimang cahaya mata baharu (khas kepada pasangan yang suka merancang).

Kepada yang suka jalan terus tanpa menoleh ke belakang, anda boleh berhenti dan baca sekejap artikel ini. Jika anda ialah salah seorang yang masih kurang arif mengenai hal ini, ada beberapa perkara penting yang perlu difikirkan sebelum berniat menambah orang baharu.


1. FAKTOR USIA

Wanita berlumba dengan masa, ada jangka masa yang kita betul-betul subur. Jadi, usia sebelum 35 tahun ialah waktu wanita sedang subur. Jika berkahwin lambat atau lambat dapat anak, anda perlu ambil kira soal usia.

Bukan tidak boleh hamil, tetapi kesuburan menurun dan risiko hamil selepas umur 35 tahun lebih tinggi.


2. KEADAAN KEWANGAN

Kos melahirkan dan membesarkan memang tinggi zaman sekarang. Lagi-lagi kalau yang jenis mengidam hendak bersalin di Hospital Prince Court. Memang sudah boleh cecah lima angka walaupun kelahiran normal, itu belum caesar lagi ok.

Ditambah lagi hal membesarkan anak, keperluan, ubat-ubatan, pengasuh, sekolah dan macam-macam lagi. Semua perlukan duit.


3. KEADAAN KESIHATAN

Jarang ada yang fikir kesihatan ibu hamil dan bersalin, bukan saja fizikal, tetapi juga mental. Ada ibu yang dapat anak dengan bermacam-macam helah dan kemahuan, memang letih. Selalu saja perlu melayan anak.

Ada ibu yang ok, relaks apabila ada anak. Ada juga ibu belum hilang penat mental dengan anak pertama, sudah keluar pula anak kedua. Jadi, pastikan ibu sudah bersedia fizikal dan mental. Kemudian, barulah rancang anak seterusnya.


4. PENJAGA ANAK

Jika anda dan pasangan bekerja, memang perlu hantar ke pengasuh. Jadi kita tengok juga, pengasuh ok atau tidak untuk terima ramai anak kita. Kadangkala mereka tidak boleh terima jika ramai sangat (bukan semua, ada sesetengah kes). Bukan apa, kita pun kalau duduk dengan ramai budak seharian, memang letih sangat. Apa lagi pengasuhkan?

Ada pilihan untuk hantar anak ke pengasuh berasingan, tetapi kos pula jadi masalah. Ada kata tak apa, ok ja, isteri sayakan suri rumah. Tapi perlu diingatkan, suri rumah juga tahu penat. Jika ada pembantu atau bibik di rumah, lain pula ceritanya.


Apapun, pertimbangkan banyak perkara mengikut keadaan dan keperluan keluarga sendiri. Cuma nasihat kami, tunggu dulu anak sekarang berusia sekurang-kurangnya 6 bulan, atau jarakkan masa lebih lama barulah mula merancang anak seterusnya. Ok?

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda