SETIAP ibu bapa ada cara mendidik anak yang berbeza. Seiring perubahan zaman, ditambah pula bermacam-macam kes gejala sosial di kalangan remaja, ramai ibu bapa semakin bertegas dalam mendidik.

Kita anggap bertegas dan garang dalam mendidik akan membuatkan anak takut untuk melakukan perkara salah dan patuh segala arahan. Tetapi sebenarnya tidak. Sikap bertegas ibu bapa boleh menyebabkan kesan negatif ke atas sikap anak-anak.

Sebenarnya, ada 3 jenis kepimpinan keluarga dalam mendidik anak. Ada pula kesan negatif sekiranya ibu bapa terlalu garang ketika mendidik. Apa kata kita baca sampai habis artikel di bawah ini.

3 JENIS KEPIMPINAN DALAM KELUARGA

Cara ini boleh diaplikasikan dalam kepimpinan rumah tangga, termasuk cara mendidik anak.

1. AUTOKRATIK

Kepimpinan atau cara didikan autokratik menumpukan kepada ibu bapa yang sangat tegas dan boleh dikatakan ibu bapa garang. Ciri kepimpinan autokratik, termasuklah ibu bapa menggunakan kuasa untuk menentukan segala aspek dalam hidup anak.

Ibu bapa jenis ini akan membuat penyelesaian, keputusan, dan kedudukan dalam semua aspek kehidupan anak dan mereka mesti patuh kepada segala perancangan ibu bapanya.

2. DEMOKRATIK

Kepimpinan atau cara pendidikan demokratik pula akan lebih menumpukan kepada lebih banyak perkongsian menang-menang antara ibu bapa dan anak. Ibu bapa akan lebih banyak memberikan dorongan, sokongan serta galakan untuk anak melakukan perkara yang dipersetujui bersama.

Peranan ibu bapa lebih kepada memberikan sokongan, mampu berbincang secara adil dan beri galakan. Sokongan dan dorongan sangat diperlukan anak untuk mengembangkan potensi ke arah membina jati diri yang mantap.

Kata-kata perangsang ibu bapa ialah azimat untuk anak meneruskan kehidupan dengan penuh keyakinan dan berusaha mencapai kejayaan demi kejayaan dalam hidup mereka.

3. LAISSEZ-FAIRE

Kepimpinan atau cara didikan ini pula ialah kaedah kepimpinan tanpa ada sebarang kawalan terhadap anak. Mereka bebas melaksanakan apa jua perancangan dan keinginan mereka dalam hidup dengan sepenuh kebebasan.

Ibu bapa tidak ambil tahu dan memberikan sepenuh kebebasan kepada anak. Ibu bapa yang melaksanakan cara ini sebenarnya tidak berperanan dalam membantu anak. Anak dibiarkan terumbang-ambing dalam meneruskan kehidupan tanpa sebarang bimbingan dan panduan daripada ibu bapa sendiri.


KESAN NEGATIF APABILA IBU BAPA TERLALU GARANG

1. TEKANAN EMOSI

Anak akan mengalami tekanan emosi serius. Malah, dalam beberapa kes tertentu boleh menyebabkan anak mengalami tekanan mental yang disebabkan desakan ibu bapa uamh memaksa mereka mengikut apa juga arahan tanpa kerelaan.

2. MENGALAMI KEMURUNGAN

Ada kalangan anak yang mengalami kemurungan seperti suka duduk sendirian, lebih banyak menghabiskan masa sendirian, suka bercakap sendirian dan boleh menyebabkan kerisauan kepada diri sendiri.

3. TIDAK FOKUS DALAM PELAJARAN

Tekanan emosi boleh menjadikan anak tidak mampu fokus dalam kelas dan belajar dengan tenang. Apa yang ada dalam minda mereka adalah rasa terpaksa melakukan semua tugas hidup dan akhirnya akan jadi jemu.

4. LEPAS TEKANAN DENGAN BERTINDAK AGRESIF

Anak boleh memberontak dan suka bergaduh dengan kawan-kawan di sekolah, termasuk melakukan vandalisme untuk melepaskan tekanan dengan merosakkan alatan di sekolah seperti menconteng tandas dan menjahanamkan premis awam.

5. SUKA MEMUKUL, MEMBULI DAN MENCEDERAKAN 

Anak yang dididik dengan autokratik akan melepaskan perasaan seperti suka memukul, membuli dan mencederakan orang lain kerana ingin membalas dendam terhadap apa yang ibu bapa lakukan ke atas mereka.

Ibu bapa autokratik juga cenderung memukul anak mereka sekiranya tidak mahu mengikut arahan.

6. MENCARI SUMBER SOKONGAN ORANG LAIN

Anak akan mencari sumber sokongan orang lain seperti kawan untuk berkongsi masalah dan perasaan. Mereka lebih mempercayai kawan daripada ibu bapa sendiri.

7. BERPOTENSI TERLIBAT DALAM GEJALA SOSIAL

Anak berpotensi terlibat dalam gejala sosial seperti dadah, rempit, melepak dan kes-kes jenayah juvana. Anak, terutama golongan remaja sanggup keluar dan lari dari rumah apabila terlalu tertekan dengan sikap ibu bapa.

SUMBER: IsmaWeb.Net

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda