SEBAIK saja anak dilahirkan, antara perkara pertama yang sering menghantui ibu bapa, terutama mereka yang kali pertama menimang cahaya mata, ialah penyakit kuning atau jaundis.

Kebanyakan bayi baru lahir akan terkena jaundis. Tetapi jangan risau, biasanya jaundis tidak berbahaya dan berlaku 24 jam selepas bayi dilahirkan. Selalunya paras kuning akan meningkat pada hari ke-3 hingga 5, kemudian menurun pada hari ke-6 dan ke-7.

Namun, ada sesetengah kes, kuning bayi tidak menurun selepas seminggu. Jadi, penting bagi ibu bapa mengenal pasti tanda-tanda penyakit kuning.

CARA PERTAMA

Tengok mata putih bayi (sclera). Jika nampak mata putih mula sedikit kuning, itu bermakna bayi kita sudah mula terkena jaundis.

CARA KEDUA

Tekan hidung bayi selama 3-4 saat menggunakan jari telunjuk dan kemudian lepaskan. Kalau bayi ada jaundis, biasanya bahagian hidung tersebut akan kelihatan kekuningan.

CARA KETIGA

Guna cara sama seperti di atas, tetapi kali ini tekan gusi bayi selama 3-4 minit. Lihat kalau gusi nampak kekuningan. Jika ada, itu tanda anak kita ada kuning.


APA PERLU BUAT KALAU ANAK ADA KUNING?

Jangan panik. Bawa ke hospital atau klinik kesihatan terdekat untuk periksa tahap jaundis. Di hospital swasta, bayi biasanya akan terus dikuarantinkan selepas dikesan ada kuning selepas dilahirkan hingga sembuh.

Sebaliknya, di hospital atau klinik kesihatan seliaan Kerajaan, ibu bapa diminta buat pemantauan sendiri di rumah dan rujuk semula jika kuning tidak hilang selepas seminggu.  Biasanya jika bacaan di bawah 280 mikromol/l, bayi dibenarkan pulang.

Apa yang penting, ibu kena kerap berikan susu badan (8-12 kali sehari), dan pastikan anak buang air (kecil dan besar) dengan kerap. Sekiranya bayi kekal dengan cara itu, kuning secara akan berkurangan dengan cepat.

Semoga ilmu ini bermanfaat kepada ibu bapa, dan dijadikan persediaan sebelum menimang cahaya mata. Jangan pula nanti, anak sudah kena jaundis teruk, barulah hendak dibawa jumpa doktor.

Hati-hati juga, jaundis kronik boleh menyebabkan bayi terkena KERNICTERUS, iaitu kerosakan otak akibat mendapan bilirubin dalam tisu otak.

SUMBER: TaufiqRazif.com

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda