SUDAH ramai yang mula mengemas barang untuk pulang beraya ke kampung minggu ini. Maklumlah, sekolah sudah mula bercuti dan persiapan raya pula sudah selesai dibeli.

Tetapi jangan terlupa tentang perkara penting, iaitu kesihatan dan keselamatan diri sepanjang musim raya kelak. Ada banyak penyakit menanti, tetapi klinik pula banyak yang ditutup operasi selama 2 atau 3 hari.

Jadi sebagai persediaan diri sendiri dan keluarga, terutama kalangan ibu bapa yang ada anak kecil, sediakan beberapa barang asas tentang penjagaan kesihatan sebelum balik kampung.

1. TERMOMETER

Kepada yang belum mempunyai termometer, bolehlah beli. Cuma jangan beli yang ada bebuli merkuri. Kalau pecah bebuli nanti susah untuk dibersihkan. Belilah jenis eletronik yang boleh dibaca pada dahi atau telinga.

2. NASAL ASPIRATOR 

Tidak kisah sama ada manual, pam atau elektrik bergantung kepada kemampuan dan keselesaan masing-masing. Ia boleh digunakan jika hidung anak tersumbat untuk menyedut keluar hingusnya.

3. PENYEMBUR NASAL AIR GARAM (STERIMAR)

Penyembur ini untuk melegakan hidung berhingus. Boleh digunakan untuk bayi dan anak-anak kecil. Boleh beli di farmasi.

4. LOSYEN CALAMINE

Kalau badan anak gatal atau ruam biasa, bolehlah sapu. Lega, boleh tidur nanti.

5. ZINK OKSIDA (RUAM LAMPIN)

Musim raya nanti, kita makan macam-macam, tetapi anak menyusu badan pula yang terkena cirit-birit sampai melecet punggung. Krim ini sangat membantu mengelakkan kulit menggelupas akibat kerap basah.

6. TISU BASAH

Antara benda penting kepada ibu bapa yang ada anak kecil. Rasanya semua orang yang ada anak kecil mesti ada tisu basah ini di rumah.

7. KAIN KASA

Kain kasa atau gauze. Boleh digunakan untuk mencuci luka. Tutup luka sebelum balut dengan pembalut (bandage). Beli yang disteril lebih baik, iaitu dalam paket. Ada pelbagai saiz dan pilihlah mana sesuai.

8. ANTISEPTIK / ALKOHOL

Boleh beli alkohol dalam bentuk tisu kesat. Koyak paket, keluarkan tisu beralkohol dan sapukan pada kawasan yang mahu disterilkan. Ada jual di farmasi.

9.UBAT KUNING

Kalau terluka, cucikan guna air bersih sebelum sapu ubat ini. Tutupkan dengan kain kasa dan balut.

10. PICAGARI

Ini untuk berikan ubat kepada anak kecil. Hendak buat mencuci luka pun boleh.

11. TWEEZERS

Boleh digunakan untuk mencabut selumbar atau jarum sengatan.

12. GUNTING

Gunakan gunting yang bersih dan tidak berkarat. Belikan khas untuk kit kecemasan.

13. KAIN PEMBALUT (BANDAGE)

Sangat penting untuk digunakan ketika membalut luka jika berlaku kecederaan melibatkan pendarahan.

14. PLASTER LUKA

Berguna sekiranya anak terluka akibat terjatuh ketika bermain dengan sepupu dan kawan.

15. BONJELA

Ketika raya, kita atau anak mudah terkena ulser mulut. Boleh beli gel macam Bonjela atau Keno di farmasi.

16. VASELINE / LOSYEN

Krim petrol, Vaseline atau losyen kulit berguna untuk melembapkan kulit yang pada masa sama tidak mahu kulit basah. Jika kulit kerap basah, nanti berkedut dan mudah menggelupas. Boleh juga digunakan ketika cuaca panas.

17. FLANIL 

Krim sapuan panas untuk lenguh otot selepas penat beraya ke sana sini.

18. PARASETAMOL

Bawa parasetamol untuk dewasa (pil) dan kanak-kanak (sirap). Dos 15mg/kg (setiap kilo berat badan, darab 15mg). Contoh: anak 10kg, maka 10kg x 15mg/kg = 150mg (miligram, bukan ml).

19. UBAT BATUK

Boleh beli ubat batuk komersil atau di farmasi. Sila ikut sukatan disyorkan pada kotak produk. Baca betul-betul dan jangan tersalah. Baca juga ubat manakah sesuai untuk kanak-kanak, dan mana pula tidak sesuai. Ada menyebabkan mengantuk, jadi hati-hati.

20. UBAT CIRIT-BIRIT

Hari Raya ialah pesta makanan dan minuman, jadi potensi terkena cirit-birit ialah tinggi. Boleh beli ubat cirit-birit dari farmasi awal-awal. Tanyakan ahli farmasi tentang ubat manakah boleh diberikan kepada kanak-kanak, mana pula tidak boleh.

21. GARAM REHIDRASI ORAL – ORAL REHYDRATION SALT (ORS)

Kalau cirit-birit, maka banyak hilang garam mineral, jadi kena ganti semula. Bancuh ORS dan minumlah setiap kali tercirit.

22. SPHYGNOMANOMETER

Khas untuk periksa tekanan darah. Maklumlah, banyak makan sepanjang raya. Jadi takut pula terlebih makan. Kena periksa juga.

23. GLUKOMETER

Khusus kepada mereka yang ada penyakit kencing manis. Alat ini memudahkan kita memantau gula dalam darah.

SUMBER: DrKamarulAriffinNorSadan

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda