“MAMA, mama! Adik sesak nafas!” jerit si abang kepada ibu yang sedang memasak di dapur dan kemudian terus jadi cemas tiba-tiba. Anak yang kepucatan akibat tidak cukup nafas nampak tercungap-cungap.

Pernahkah situasi ini berlaku? Ya ataupun tidak, ada baik jika kita ambil langkah berjaga-jaga sebelum terlambat. Berikut 20 tip bagaimana mengelak anak daripada tercekik:


1. AWASI ANAK

Makanan seperti bertih jagung dan kacang susah dikunyah kanak-kanak khususnya yang berusia bawah 3 tahun. Elakkan beri anak makanan tersebut. Jika tetap mahu beri, pastikan anda dekat dan pantau dia.

2. BUANG BIJI BUAH-BUAHAN

Sebelum beri anak makan buah-buahan yang berbiji, pastikan buang dahulu biji tersebut dan barulah hidangkan kepada si manja.

3. PASTIKAN MUDAH DIKUNYAH

Sebelum beri makanan kepada anak, pastikan saiznya kecil supaya mudah dikunyah dan ditelan. Jika tidak, potong dan ceraikan makanan tersebut hingga jadi cebisan kecil.

4. CARA BERI SAYUR

Sebelum masak sayur, pastikan dipotong pendek. Sayur panjang seperti kangkung agak sukar dikunyah kanak-kanak. Akibatnya, mudah tersangkut di kerongkong.

5. MAKAN DI TEMPAT YANG BETUL

Cara makan yang betul juga dapat mengelakkan makanan tersangkut di kerongkong anak. Pastikan anak makan di meja sambil duduk di kerusi atau makan bersila atas lantai.

6. AJAR KUNYAH

Ajar anak cara kunyah makanan dengan betul. Ini penting supaya anak tidak terus menelan makanan tanpa mengunyah terlebih dahulu.

7. JANGAN BERDIRI

Jangan sesekali biarkan anak mengunyah makanan sambil bermain atau berlari. Ketika melakukan aktiviti sebegini, anak tidak dapat mengunyah makanan dengan sempurna.

8. ELAK BERGURAU

Elakkan bergurau dengan anak ketika dia sedang makan. Ini kerana anak tidak dapat mengunyah sempurna ketika sedang ketawa.

9. JANGAN BIAR ANAK SENDIRIAN

Jangan biar anak makan sendirian. Perhatikan anak ketika dia sedang makan. Nasihat dan ajar anak untuk makan dan kunyah secara perlahan dan sopan.

10. SIMPAN UBAT-UBATAN 

Simpan ubat, khususnya pil di tempat selamat dan jauh daripada jangkauan anak. Maklumlah, anak-anak pantang nampak apa saja yang kita buat, pasti mahu ditirunya.

11. LANTAI BERSIH

Kanak-kanak khususnya yang berusia bawah 3 tahun suka bermain atas lantai. Anda perlu sentiasa pastikan lantai rumah bersih dan kemas. Elakkan benda-benda kecil seperti butang dan syiling bertaburan atas lantai. Ini kerana anak akan terdorong memasukkan objek kecil ke dalam mulut.

12. KAWASAN BAWAH PERABOT SELAMAT

Kita mesti peka dengan tempat tersorok seperti bawah katil atau almari. Anak akan tertarik mengambil benda kecil seperti klip kertas dan sebagainya. Ketika bermain, anak akan masukkan objek itu ke dalam mulut.

13. BEKAS ABU ROKOK

Kosongkan bekas abu rokok setiap kali selesai merokok. Ini bagi mengelakkan anak meniru lagak anda sedang merokok dengan menggunakan puntung rokok yang masih berbaki. Senang cerita, berhenti terus.

14. SIMPAN DI TEMPAT SEPATUTNYA

Ada beberapa peralatan di rumah yang menggunakan bateri saiz kecil seperti jam, kalkulator dan sebagainya. Elakkan membuang objek kecil itu merata tempat, termasuk letak bateri sesuka hati.

15. OBJEK KECIL

Simpan barang-barang kecil seperti pin, skru, butang, klip kertas, syiling dan sebagainya supaya tidak mudah dicapai anak kecil.

16. PEKA DENGAN KEADAAN RUMAH

Anda perlu lebih peka dengan keadaan rumah apabila ada tetamu datang. Kadangkala, secara tidak sengaja tetamu tertinggal barang kecil atas lantai. Jadi, selepas tetamu pulang, pastikan lantai rumah berada dalam keadaan bersih dan kemas.

17. MAINAN BAHAYA

Sesetengah komponen alat permainan boleh diceraikan menjadi bahagian kecil. Elakkan anak bermain jenis permainan seperti ini.

18. BARANG MAINAN IKUT USIA

Belilah barang mainan yang sesuai mengikut usia anak.

19. HATI-HATI DENGAN BELON

Kanak-kanak suka bermain belon. Kadangkala dia akan bermain dengan serpihan belon yang sudah pecah. Elakkan bermain dengan belon yang masih belum ditiup atau serpihannya.

20. ANAK TERCEKIK

Jika ada benda tersangkut di kerongkong anak, pastikan anda segera mengeluarkannya supaya pernafasan dia tidak tersekat. Belajarlah cara menangani masalah itu supaya tidak mudah panik. Selain itu, ada baik juga jika anda belajar kaedah rawatan pernafasan atau CPR apabila berada dalam situasi kecemasan.


Ingat, jangan ambil mudah perkara ini sebab insiden tercekik boleh membawa maut kepada sesiapa saja tanpa mengira tua atau muda.

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda