DISLEKSIA (dyslexia) atau lebih dikenali sebagai sindrom lambat membaca sering menimpa kanak-kanak. Walaupun bukan satu penyakit atau kecacatan bahaya, tetapi kesannya boleh menyebabkan anak ketinggalan dalam pembelajaran.

Keadaan ini boleh dielak dengan membantu anak yang bermasalah itu berjumpa pakar lebih awal apabila kita mengesyaki tanda awal disleksia.

APA ITU DISLEKSIA?

Disleksia merupakan satu masalah pembelajaran iaitu kesukaran mengenal huruf, membaca, menulis, mendengar dan bercakap. Masalah ini biasanya dialami oleh kanak-kanak dan boleh berlanjutan sehingga dewasa.

Masalah asas disleksia adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual dengan bunyi menyebabkan mereka mengalami kesukaran tersebut.

Dianggarkan kira-kira 4-8 peratus pelajar sekolah mempunyai masalah disleksia dan rata-rata melibatkan kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.


TANDA-TANDA DISLEKSIA

1. SUKAR IKAT TALI KASUT

Perhatikan anak kita sama ada dia mengalami kesukaran untuk mengikat tali kasut, mengancing butang baju dan mengikat tali leher (jika ada).

2. PAKAI KASUT TERBALIK

Kekerapan anak kita menggunakan kasut tertukar antara kiri dan kanan mungkin salah satu tanda awal disleksia.

3. SERING TERJATUH

Tidak normal bagi kanak-kanak sekiranya dia sering terjatuh apabila berjalan.

4. SUKAR LOMPAT TALI

Kanak-kanak suka bermain lompat tali, perhatikan jika anak kita mengalami kesukaran sama ada lompat tali atau melompat.

5. SUKAR TENDANG DAN TANGKAP

Bawa anak bermain bola, perhatikan ketika ini sama ada dia mengalami kesukaran untuk buat perkara ini.

6. SUKAR KENAL PASTI KEDUDUKAN

Anak kita mungkin akan sukar mengenal pasti kedudukan seperti atas dan bawah atau depan dan belakang.

7. TIDAK BOLEH TERIMA ARAHAN BANYAK

Perhatikan jika anak kita sukar atau keliru apabila menerima arahan yang banyak dalam satu masa.

8. LAMBAT BERCAKAP

Masa kecil, anak kita tidak suka menyanyi atau mengikut rentak lagu. Apabila semakin meningkat usia, mungkin kurang minat bercakap kerana sukar menyebut sesuatu perkataan.

9. SPOONERISM

Anak kita mungkin akan kerap bertutur dan terbalik susun atur ayat dalam konsonon atau suku kata frasa yang diucapkan. Contoh: Perut saya sakit jadi Reput saya kasit.

10. SEBUT PERKATAAN TERBALIK

Kadang-kadang anak kita mungkin akan menyebut perkatan dalam keadaan terbalik. Contoh: Hospital jadi Hopsital; Kesian jadi Sekian atau Ketawa jadi Tekawa.

11. SUKAR INGAT NAMA OBJEK

Anak kita mudah lupa nama objek yang panjang atau rumit untuk diingat.

12. KELIRU KIRI DAN KANAN

Mungkin anak kita juga sering tersasul atau tidak tahu beza di antara kiri dan kanan.

13. TULISAN TERBALIK

Anak kita mungkin mempunyai tulisan tangan yang tidak kemas, kadang-kadang tidak menulis huruf dengan sempurna dan terbalik.

14. TIDAK DAPAT MENYALIN DENGAN SEMPURNA

Anak kita mungkin mengalami masalah untuk menyalin dengan sempurna terutamanya pada papan hitam.

15. SENTIASA LETIH

Anak kita mungkin akan menjadi cepat letih apabil terlalu fokus dan bersungguh-sungguh tetapi hasilnya tidak begitu baik.

16. SUKAR INGAT

Sukar ingat tarikh lahir, hari, alamat dan nombor telefon.

17. TIDAK TAHU MASA

Sukar mengingat sesuatu mengikut turutan. (Contoh: hari Isnin hingga Ahad, huruf A hingga Z,  nombor 1 hingga 10 atau Januari hingga Disember.)

18. TIDAK PASTI SEMALAM DAN ESOK

Perhatikan juga jika anak kita tahu penggunaan semalam dan esok terutamanya dalam pertuturan.

19. SUKAR MEMBACA DAN MENGEJA

Anak kita akan berhadapan dengan masalah membaca dan mengeja walaupun dalam bentuk fonetik.

20. LAMBAT KENALPASTI TANGAN DOMINAN

Anak kita akan lambat mengenal pasti mana satu tangan yang selesa untuk digunakan. Biasanya disleksia menggunakan tangan kiri tetapi tidak semestinya tangan kiri adalah disleksia ye.

Semoga bermanfaat untuk ibu bapa semua.

1 KOMEN

  1. Hi…anak saya berumur 5 tahun…apa yang saya dapati anak saya kadang dia akan tulus sesetengah huruh seperti S,P atau no. 7 dalam keadaan terbalik…

    Soalan saya di sini adakah anak saya dikategorikan sebagai Disleksia juga??

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda