JANGAN sesekali culas dalam berpantang kalau mahu kembali cantik dan sihat! Selepas bersalin, kita bakal melalui proses pemulihan diri dan sepanjang tempoh berpantang itu, ada pelbagai pantang larang dan rawatan perlu dilalui dari segi penjagaan luaran dan dalaman.

Manfaatnya sudah tentu seperti disebutkan tadi, kita akan kembali cantik dan sihat. Wajah akan kembali berseri, bentuk tubuh langsing semula dan dapat cergas seperti sedia kala.

Agaknya apakah perkara penting yang kita tidak boleh culas sepanjang tempoh berpantang kalau mahu kembali cantik?

1. BENGKUNG

Berbengkung ialah rawatan yang memerlukan kita membalut perut dengan kain khas. Tujuannya, mengelakkan angin masuk dalam perut sepanjang tempoh berpantang.

2. TUNGKU

Urutan batu panas. Biasanya batu sungai berbentuk bujur telur sesuai digunakan. Kalau tidak dapat batu sungai, batu tungku boleh dibeli di kedai jamu. Batu ini dibakar 5-10 minit hingga panas dan kemudian dibalut dengan beberapa lapis kain yang dialas pelbagai daun herba.

3. JAMU

Serbuk herba yang dikapsulkan untuk memulihkan kembali organ peranakan dan membentuk kembali posisi badan. Dapatkan ramuan air herba yang boleh diminun untuk buang darah kotor dalam badan semasa berpantang di pautan ini: Mahu Langsing dan Sihat Lepas Bersalin? Minum 2 Air Herba Ini.

4. AIR AKAR KAYU

Ini ialah ramuan tradisional yang menggunakan air rebusan herba, akar kayu atau teh herba. Minum air akar kayu dapat membantu mengecutkan rahim.

5. MANDI DAUN

Kita digalakkan mandi air daun selepas selesai bertungku dan urut untuk menyegarkan badan, memulihkan urat sarat dan sebagainya.  Mandian dilakukan sekurang-kurangnya dua minggu dalam tempoh awal berpantang.

6. MANDI LULUR

Mandian ini bertujuan menyegarkan fizikal dan mental, termasuk memulihkan kesihatan dan kehalusan kulit selain menyingkirkan daki pada kulit. Pada masa sama, sel kulit mati akan tertanggal dan kulit akan lebih cerah.

BACA>>>> Mahu Langsing dan Sihat Lepas Bersalin? Minum 2 Air Herba Ini

7. BERPILIS

Pilis ialah sejenis ramuan yang dibuat untuk mengelak angin meroyan. Penggunan pilis mampu membuang angin meroyan di kepala, mengelakkan sakit kepala dan menyingkirkan perasaan murung.

8. BERTANGAS

Bertangas merupakan proses merawat bahagian sulit wanita dengan haba yang dicampurkan dengan pelbagai jenis herba yang mengaktifkan pengeluaran peluh. Ini juga dapat menyingkirkan toksin dalam badan. Baca manfaat bertangas di pautan: Amalan Bertangas Bantu Wanita Kekal Awet Muda.

9. URUT

Urutan biasanya dimulakan selepas tiga hari bersalin dan tiga hari sebelum habis pantang. Sesi mengurut sebaiknya dilakukan selepas mandi pagi.

Cara ini dapat mengembalikan kesegaran badan dan melancarkan peredaran darah. Sekiranya tidak diurut dalam tempoh ini, badan mungkin akan rasa sakit.

10. ELAK MAKAN BERLEMAK

Jangan sesekali ambil makanan menggemukkan ketika berpantang. Makan ulam dan masakan yang menggunakan pelbagai jenis rempah. ini dapat memulihkan kesihatan dan mengurangkan berat badan.

11. KECANTIKAN WAJAH

Makan sup ikan haruan dan tenggiri untuk melicinkan dan menegangkan kulit. Selain itu, makanan ini juga membantu menyembuhkan luka luar dan dalaman. Dapatkan petua berseri ketika berpantang di pautan ini: Inilah 10 Rahsia Wajah Berseri Walaupun Sedang Berpantang.

12. LANCARKAN PROSES PENGHADAMAN

Halia memiliki sifat panas dan kering. Ini membantu kita memecahkan angin, menghilangkan sejuk badan dan melancarkan proses penghadaman.

13. ATASI KEMURUNGAN

Salah satu ulam popular untuk ibu berpantang ialah pegaga yang mempunyai sifat tonik saraf. Khasiat ulam ini adalah membantu merehatkan dan menambahkan ingatan serta dapat mengatasi masalah kemurungan selepas bersalin.

14. BUANG ANGIN

Sayur sawi dapat membantu membuang angin. Sebaiknya, sayur dicelur dahulu dan dimakan bersama nasi panas. Dapatkan maklumat mengenai makanan selamat dan bahaya ketika berpantang di pautan ini: Makanan Selamat vs Makanan Bahaya untuk Ibu Berpantang.

15. TAMBAH SUSU

Amalkan makan peria, pegaga, kurma dan cekur manis kerana dapat mengatasi masalah susah buang air besar dan dapat menambahkan penghasilan susu badan.

16. LAWAS PEMBUANGAN AIR BESAR

Perahan air asam jawa ke dalam sebarang jenis hidangan dapat memudahkan proses membuang air besar. Selain itu, air asam jawa dapat menyegarkan badan.

17. ELAK PERUT KEMBUNG

Sebaiknya, setiap hidangan lauk dimakan dengan nasi beras perang yang baru dimasak. Tujuannya, memastikan khasiat dan kesegaran berkekalan. Elakkan makan nasi sejuk kerana boleh jadi punca perut kembung.

18. MINUMAN TENAGA

Minum air rebusan serai, halia, kulit kayu manis dan lada hitam. Minum air rebusan ini setiap pagi dan malam, badan akan kembali menjadi ringan dan bertenaga.

19. KECUTKAN RAHIM

Kunyit yang diminum sebagai jamu berupaya mengecutkan rahim dan mencuci darah. Selain itu, kunyit yang dimakan bersama nasi selama 40 hari, mampu mengembalikan kecergasan tubuh dan menyembuhkan luka dalaman.

20. KURANGKAN LADA HITAM

Tujuan utama penggunaan lada hitam dalam penyediaan masakan ibu berpantang ialah memanaskan badan. Bagaimanapun, kepada ibu yang bersalin secara caesarean, tidak digalakkan mengambil lada hitam dalam kuantiti banyak.

BACA>>>> Makanan Selamat vs Makanan Bahaya untuk Ibu Berpantang

MENINGGALKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda